Tiga beradik didakwa terima deposit tanpa lesen RM5.6 juta

Tiga beradik lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan wang RM5.6 juta sejak 2016 lalu.
Tiga beradik lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan wang RM5.6 juta sejak 2016 lalu.
A
A
A

IPOH - Tiga beradik lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Selasa atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan wang RM5.6 juta sejak 2016 lalu.

M Vijendran, 41, Danial Marnokaran Abdullah, 36, dan M Thaewendran, 32, sebagai pengarah bersama sebuah syarikat membuat pengakuan itu selepas semua 19 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mereka yang menjalankan pelaburan mata wang kripto didakwa secara bersama dan individu menerima deposit antara RM6,000 hingga RM1 juta daripada beberapa individu tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan sejak November 2016 hingga Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dibaca bersama Seksyen 249 (1)(a) akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haiqal Asyraf Suhaimi memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM100,000 ke atas setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Peguam CV Krishnadevan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon wang jaminan yang lebih munasabah atas alasan anak guamnya telah muflis selain tiada pendapatan tetap akibat perniagaan yang terjejas teruk.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa anak guamnya telah memfailkan notis permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bahawa siasatan adalah tidak sah sekaligus membatalkan apa juga pendakwaan.

"Pohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan kes ini sehingga semakan kes di mahkamah tinggi pada 1 April nanti," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28