9,462 saman trafik Op Selamat Tahun Baharu Cina di Kelantan

Muhamad Zaki (tengah) bergambar bersama warga IPK Kelantan.
Muhamad Zaki (tengah) bergambar bersama warga IPK Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengeluarkan 9,462 saman trafik sepanjang tempoh enam hari Op Selamat 21 berlangsung sempena perayaan Tahun Baharu Cina antara 8 hingga 13 Februari lalu, di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah itu termasuk 5,871 Notis Pol 170A iaitu saman yang dikeluarkan tanpa kehadiran pemandu atau pesalah tidak ditahan seperti perangkap had laju manakala 3,591 lagi ialah Notis Pol 257 yang dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik.

Menurut beliau, saman turut merekodkan pelbagai kesalahan lalu-lintas seperti memotong barisan berkembar, gagal patuhi lampu isyarat dan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan tahun ini meningkat berbanding 4,334 keseluruhan saman pada op sama tahun lalu.

“Angka 9,462 saman tahun ini bukan satu yang boleh dibanggakan kerana mencerminkan tahap kesedaran awam terhadap pematuhan undang-undang di jalan raya masih rendah,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan, di sini pada Selasa.

Muhamad Zaki (kiri) menurunkan tandatangan sempena Perasmian Mesyuarat Agung Perkep.
Muhamad Zaki (kiri) menurunkan tandatangan sempena Perasmian Mesyuarat Agung Perkep.

Turut diadakan Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kelantan.

Muhamad Zaki mengulas lanjut, dalam tempoh op tersebut bagaimanapun mencatatkan penurunan jumlah kemalangan jalan raya daripada 279 kepada 250 kes.

Artikel Berkaitan:

“Pun begitu, kemalangan maut pula meningkat daripada lima individu kepada lapan individu yang maut dalam tempoh operasi berlangsung.

“Kami akan terus meneliti dan mengkaji keberkesanan Op Selamat bagi memastikan pematuhan kepada arahan dan peraturan jalan raya sepenuhnya,” kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28