Ruang khas merokok: Cukup dalam lakaran kotak merah tanpa bumbung, kerusi

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Muhammad Sha'ani
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Muhammad Sha'ani
A
A
A

SHAH ALAM - Penyediaan kawasan khas merokok tanpa bumbung dan tempat duduk antara aspek yang sesuai dilaksanakan bagi menyokong objektif untuk tidak menormalisasikan tabiat yang membahayakan kesihatan itu.

Penyelaras Kawalan Tembakau/Merokok Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, sekiranya ruang khas itu perlu diwujudkan, ruang khas seperti lakaran kotak merah pada lantai sudah mencukupi kerana kawasan di luar larangan merokok terlalu luas sebagai pilihan kepada perokok.

Menurutnya, sudah terdapat banyak bukti bahawa bilik merokok dalam bangunan juga tidak selamat kepada penghuni lain kerana tiada teknologi untuk menapis asap rokok daripada merebak ke ruangan lain.

"Harus diambil perhatian bahawa Dasar Kawalan Merokok adalah untuk mencapai negara bebas tabiat merokok pada tahun 2040. Maka cadangan menyediakan tempat merokok khas dalam keadaan tiadanya pengharaman merokok yang menyeluruh, bercanggah dengan dasar kawalan merokok.

"Jika perlu kawasan khas merokok, ia seharusnya tidak memberi keselesaan dan tidak terdedah kepada kanak-kanak kerana memberi pengaruh tabiat merokok adalah normal.

"Semua perokok juga harus menunggu sekurang 45 minit selepas merokok sebelum memasuki ke ruang dalam kerana asap rokok mengambil lapan hingga 10 jam untuk hilang daripada paru-paru perokok," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Media pada Isnin melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersedia mempertimbangkan untuk memperkenal kawasan khas merokok berhampiran premis makanan.

Katanya, premis makanan di Jalan Alor, Bukit Bintang antara lokasi contoh yang boleh diberikan penekanan kepada keperluan untuk ruang ditetapkan seperti dilakukan di Singapura dan Jepun.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Sha'ani berkata, cadangan untuk mengkhaskan kawasan merokok di Jalan Alor, Kuala Lumpur yang hanya sekitar 200 meter adalah tidak munasabah.

"Di Singapura, Serangoon Road yang diisytiharkan bebas asap rokok dan memandangkan keluasan yang besar maka ruang merokok disediakan dengan lakarkan kotak pada lantai untuk perokok merokok.

"Di Jepun pula, memandangkan musim sejuk yang mencabar tempat merokok disediakan," jelasnya.

Justeru tegasnya, gesaan bagi menyediakan tempat khas merokok tidak harus bertentangan dengan matlamat larangan merokok di tempat-tempat awam dalam usaha mengurangkan tabiat merokok.

Katanya, tempat-tempat awam bebas untuk merokok yang semakin berkurangan mendorong perokok ke arah usaha untuk berhenti merokok.

"Ia juga melindungi orang ramai daripada terdedah kepada bahaya daripada asap rokok atau vape yang mengakibatkan 27,000 orang maut setahun di Malaysia," katanya.