Peruntukan RM168 juta baik pulih jalan di Johor

Onn Hafiz (kanan) ketika perjumpaan dengan Nanta (kiri) di pejabat Kementerian Kerja Raya pada Isnin. Foto FB Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz (kanan) ketika perjumpaan dengan Nanta (kiri) di pejabat Kementerian Kerja Raya pada Isnin. Foto FB Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sejumlah RM168 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam usaha membaik pulih beberapa jalan di sekitar negeri Johor.

Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, jumlah berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM120 juta bagi menaikkan aras jalan di laluan FT003 (Jalan Johor Bahru – Mersing), baik pulih jalan rosak kesan bencana banjir Monsun Timur Laut 2023/2024 lalu (RM39 juta) dan baik pulih jalan di Jalan Felda Ulu Tebrau (RM9 juta).

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya kerana sudi menerima kunjungan hormat saya serta delegasi Kerajaan Negeri Johor.

“Lanjutan daripada perjumpaan lalu, beberapa perbincangan bagi menambah baik infrastruktur jalan di Negeri Johor telah diperincikan menerusi perjumpaan pada kali ini dan saya amat berterima kasih di atas keprihatian pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) atas kelulusan beberapa projek di Johor.

“Semoga segala usaha bagi meningkatkan mutu jaringan keselamatan jalan raya di negeri ini bakal memberikan limpahan manfaat kepada Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-ALLAH,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian dalam satu perjumpaan dengan Nanta di pejabat Kementerian Kerja Raya pada Isnin.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Salleh; Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Dr Amirul Haffiz Ariff dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Abu Bakar Abd Aziz.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri Johor dengan kerjasama kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur jalan raya di negeri ini demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Jalinan kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu sentiasa diperkukuh demi manfaat kepada rakyat.

“Justeru, saya berharap agar pihak JKR dapat mempertimbangkan permohonan lain sebagai persediaan bagi pelaksanaan JS-SEZ (Johor-Singapore Special Economic Zone) serta agenda Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28