Beringat ketika mandi laut atau sungai

Tidak salah untuk melakukan aktiviti air tetapi kita perlu beringat dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kerana malang itu tidak berbau. - Gambar hiasan 123RF
Tidak salah untuk melakukan aktiviti air tetapi kita perlu beringat dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kerana malang itu tidak berbau. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

Setiap kali bercuti di kawasan air, baik di sungai atau di pantai, Merak Jalanan sering berfikir dua tiga kali untuk meneruskan hasrat berkenaan.

Bukan apa, Merak Jalanan cukup fobia kalau ada aktiviti melibatkan air kerana sewaktu kecil, Merak Jalanan hampir lemas akibat terkena 'tsunami' yang terjadi selepas seorang daripada sepupu melompat dari tebing sungai.

Impak ombak yang terhasil, Merak Jalanan tertolak hingga ke tengah sungai dan dalam keadaan lemas itu, Merak Jalanan terlihat emak di atas menjerit meminta tolong.

Mujur pada ketika itu ada seorang lelaki bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Merak Jalanan.

Kejadian berkenaan sering menghantui Merak Jalanan sehingga menimbulkan rasa trauma untuk terlibat dalam sebarang aktiviti air.

Apa yang berlaku tentu kesannya sama dengan mana-mana keluarga yang pernah terlibat atau kehilangan insan tersayang akibat lemas di sungai mahupun pantai.

Contohnya kes kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh di Bidor yang mengorbankan ibu bersama tiga anaknya pada 7 Februari lalu.

Sudah tentu si suami kini amat terkesan akibat kehilangan isteri dan tiga anaknya yang pergi menemui Sang Pencipta secara beramai-ramai. Tambahan pula ketika kejadian si suami atau si bapa itu tiada di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, perkelahan empat beranak bertukar tragedi di mana ketua keluarga itu maut akibat lemas selepas di tarik ombak dalam kejadian di Pantai Batu Buruk, Terengganu pada Ahad.

Sudah tentu juga kehilangan insan bergelar suami dan bapa itu memberikan kesan mendalam dan trauma kerana kejadian itu berlaku di hadapan mata kepala keluarga berkenaan.

Nasihat Merak Jalanan, tidak salah untuk melakukan aktiviti air, tetapi kita perlu beringat dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kerana malang itu tidak berbau.