Wanita dipukul sebelum disamun

Mangsa dipukul sebelum begnya diragut penjenayah dalam kejadian di kawasan lorong belakang sebuah bank di Kota Kinabalu.
Mangsa dipukul sebelum begnya diragut penjenayah dalam kejadian di kawasan lorong belakang sebuah bank di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita bukan saja dipukul menggunakan kayu tetapi juga ditolak sebelum begnya dilarikan penjenayah dalam kejadian di kawasan lorong belakang sebuah bank di sini pada Jumaat lalu.

Kejadian samun itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan video berdurasi 32 saat tersebut tular di aplikasi WhatsApp sejak Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu melibatkan mangsa wanita berusia 50 tahun yang disamun oleh seorang lelaki.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi di mana mangsa yang bekerja di sebuah bank berhampiran telah diserang dengan menggunakan kayu oleh suspek.

"Mangsa cedera di kepala dan badan selain mengalami kerugian kira-kira RM5,000 termasuk telefon bimbit dan juga wang tunai.

"Bagaimanapun, suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini berjaya ditahan polis pada Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kalsom dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati terutama di kawasan sunyi dan gelap terutama pada waktu malam bagi mengelak menjadi mangsa penjenayah.

"Elak juga berjalan secara berseorangan di tempat yang sunyi bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan: