KPWKM, Jakim bekerjasama selamatkan pelajar tahfiz dakwa dipukul

Nancy (empat dari kanan) menandatangan plak sempena perasmian Anjung Kasih YKN - TNB HRPZ II.
Nancy (empat dari kanan) menandatangan plak sempena perasmian Anjung Kasih YKN - TNB HRPZ II.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memberi perlindungan keselamatan kepada pelajar-pelajar tahfiz yang didakwa dipukul tenaga pengajar di sebuah madrasah tahfiz tidak berdaftar di Selangor.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, KPWKM akan melakukan tindakan mengikut prosedur termasuk menilai dari aspek keperluan kaunseling kepada pelaku.

“Kami sudah pun bertindak untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku dan lebih kepada menyelamatkan kanak-kanak.

“Hal ini perlu kerjasama dengan pihak JAKIM kerana mereka yang bertanggungjawab terhadap sekolah-sekolah tahfiz dan walaupun bukan berdaftar dengan kami, kami tetap akan membantu kerana kebajikan anak-anak adalah satu keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini pada Isnin.

Simbolik penyerahan kunci Anjung Kasih YKN - TNB HRPZ II di Kota Bharu pada Isnin.
Simbolik penyerahan kunci Anjung Kasih YKN - TNB HRPZ II di Kota Bharu pada Isnin.

Nancy mengulas lanjut, penelitian juga akan dilakukan untuk melihat sekiranya pelaku mungkin mengalami masalah peribadi untuk diberikan kaunseling.

“Kami akan memainkan peranan sebaiknya dan turut mempunyai kaunselor bertauliah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelajar tahfiz tersebut turut diganggu secara seksual dan operasi pusat pengajian itu dipercayai didokong seorang ahli politik dari Pantai Timur, peguam serta pengamal perubatan selain disyaki mengutip dana daripada orang ramai kononnya untuk membiayai pembinaan sebuah surau namun dikatakan tidak pernah siap sehingga kini.