Rakyat Malaysia terima gaji lumayan di Singapura, Brunei

Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei menjadi pekerja mahir atau separa mahir. Foto hiasan
Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei menjadi pekerja mahir atau separa mahir. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Dianggarkan sebanyak 66.7 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menerima pendapat di antara $1,500 (RM5,330) hingga S$3,599 (RM12,780) sebulan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 18.5 peratus menerima gaji di antara S$3,600 (RM12,800) hingga S$9,999 (RM35,530) sebulan.

Menurutnya, dapatan berkenaan diperoleh menerusi dua kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam pada tahun 2023 dan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara: Singapura pada tahun 2022.

“Bagi yang bekerja di Brunei Darussalam pula, 41.3 peratus responden yang bekerja ​​menerima gaji kasar bulanan di antara B$1,000 (RM3,550) hingga B$3,000 (RM10,660) dan 43.5 peratus lagi menerima gaji kasar bulanan di antara B$3,001 (RM10,670) hingga B$10,000 sebulan (RM35,550).

“Jumlah gaji kasar bulanan tertinggi yang direkodkan di Singapura adalah S$18,000 (RM64,000) dan B$15,000 (RM53,300) di Brunei,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Uzir menjelaskan, analisis berkenaan mendapati lebih daripada separuh rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara bekerja sebagai pekerja mahir dan separa mahir.

Sementara itu, beliau berkata, pekerja yang mempunyai kelulusan Sarjana Muda dan bekerja sebagai pekerja Mahir di kedua-dua negara itu, majoriti berumur 25 tahun hingga 34 tahun.

“39 peratus diaspora yang bekerja di Singapura adalah pekerja mahir dan 35 peratus separa mahir. Seterusnya, 68 peratus diaspora yang bekerja di Brunei adalah pekerja mahir dan 24.1 peratus sebagai pekerja separa mahir,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Mohd Uzir memaklumkan bahawa dapatan berkenaan turut mengkaji kecenderungan perancangan kerjaya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei.

Katanya, majoriti daripada mereka merancang untuk meneruskan pekerjaan di kedua-dua negara terbabit.

“Selain itu, turut didapati kecenderungan rakyat Malaysia yang bekerja di Brunei untuk berhijrah lebih tinggi berbanding dengan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Antara faktor utama rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di Singapura atau di Brunei kerana peluang pekerjaan dan persekitaran kerja baik, gaji lebih lumayan serta kadar pertukaran mata wang Singapura dan Brunei yang tinggi,” katanya.

Jelas Mohd Uzir, analisis terperinci yang dibuat menerusi kajian berkenaan turut menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai peluang dan ruang untuk terus memilih bekerja di luar negara.

Beliau berkata, pendidikan Malaysia diiktiraf di negara luar sehingga membolehkan pekerja dengan tahap pendidikan minimum SPM berjaya meningkatkan kerjaya mereka daripada pekerjaan berkemahiran rendah kepada separa mahir atau mahir di Singapura dan Brunei.

Menurutnya, pekerja dengan kelulusan tertiari turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan ia memberikan peluang kerjaya lebih luas kepada warganegara malah sebagai satu pengiktirafan kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.

@sinarharianonline Rakyat Malaysia dapat gaji lumayan di Singapura, Brunei #fyp#BuletinTikTok#Gaji#Brunei#Singapura original sound - Sinar Harian