SUV hilang kawalan punca nahas empat kenderaan

Anggota bomba mengangkat salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada Isnin.
- Foto: JBPM
Anggota bomba mengangkat salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada Isnin. - Foto: JBPM
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kereta jenis Honda CRV dipandu seorang lelaki hilang kawalan sebelum terbabas didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menerima satu laporan berkenaan kejadian terbabit pada jam 7.12 pagi membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dari arah Shah Alam telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta jenis Perodua Bezza yang datang dari arah Puncak Alam.

"Akibat kejadian itu, kereta jenis Perodua Axia terpaksa mengelak ke kiri lalu dilanggar oleh motosikal jenis Honda Wave dari arah belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, mangsa pemandu SUV jenis Honda CRV telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut manakala pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Bezza pula dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43 APJ 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi penolong pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Sarjan Riduwan Hamidi di talian 011-26928229," ujarnya.

Artikel Berkaitan: