Stacy juara The Masked Singer Malaysia

Stacy diumumkan sebagai juara The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4) pada Ahad. Foto Astro Awani
Stacy diumumkan sebagai juara The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4) pada Ahad. Foto Astro Awani
A
A
A

TEKA-teki pemilik vokal di sebalik topeng Bunga Matahari akhirnya terjawab selepas Stacy diumumkan sebagai juara The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4) pada Ahad.

Menerusi program yang disiarkan secara langsung dari CIDB Convention Center, Kuala Lumpur itu, Stacy menambat hati sembilan juri tetap dengan mempersembahkan lagu Lathi nyanyian asal Sara Fajira dan Cinta nyanyian asal Marsha Milan sehingga berjaya memperoleh markah keseluruhan 80.91 peratus (%).

Kemenangan Stacy di sebalik topeng Bunga Matahari sememangnya sudah boleh dijangka apabila penyanyi itu berjaya bergelar juara mingguan sebanyak tujuh kali iaitu bermula pada minggu ketiga sehingga minggu kesembilan, sekali gus melayakkan Stacy membawa pulang hadiah berupa trofi seperti mana mengikut format negara-negara lain.

Final TMSM4 menyaksikan pelawak mendominasi dua tempat teratas apabila Namie diumumkan sebagai naib juara dengan markah 75.77% selepas berjaya mengelirukan juri di sebalik topeng helang, manakala Danial Zaini yang memakai kostum Sang Kancil diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga (72.66%).

Tempat keempat (72.05%) pula menjadi milik bekas peserta Ceria Popstar, Adinda yang memakai kostum Biskut Aiskrim dan Nabila Razali yang menggayakan kostum Teratai berada di tempat kelima (68.08%).

Persembahan para peserta diadili sebanyak 80 peratus oleh juri tetap terdiri daripada Datuk Aznil Haji Nawawi, Erra Fazira, Angah, Elly Mazlein, Nabila Huda, Zizan Razak, Sherry Alhadad, Rozita Che Wan dan Michael Ang, manakala 20 peratus lagi merupakan undian peminat.

Terdahulu, rancangan yang dihoskan Datuk AC Mizal itu turut menyaksikan penyingkiran seramai sembilan peserta sepanjang sembilan minggu bersiaran.

Sembilan selebriti tersebut ialah Dr Soo Winci (Kak Cat), Amira Othman dan Irfan Haris (Cili Padi), Rashidi Ishak (Putera Katak), Daiyan Trisya (Ikan Emas), Amelina (Pom Pom Kin) dan Azan Ruffedge (Abang Jagung).

Artikel Berkaitan:

Turut tersingkir, Noki K-Clique (Bawang Putih), Datuk Yusry Abdul Halim (Musang) dan Hun Haqeem (Roti John).

TMSM4 berlangsung selama 10 minggu secara langsung dari CIDB Convention Center, Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna.

Tiga juara musim terdahulu iaitu Aina Abdul, Shila Amzah dan Ayda Jebat turut tampil sebagai penyanyi jemputan.