Tiada empangan, kawasan jelapang susut punca hasil padi KADA rendah

Ketiadaan empangan dan penyusutan kawasan jelapang antara punca prestasi hasil padi di bawah KADA ketinggalan berbanding tiga agensi pertanian lain. Gambar hiasan
Ketiadaan empangan dan penyusutan kawasan jelapang antara punca prestasi hasil padi di bawah KADA ketinggalan berbanding tiga agensi pertanian lain. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Ketiadaan empangan dan penyusutan kawasan jelapang antara punca prestasi hasil padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) ketinggalan berbanding tiga agensi pertanian di negeri lain.

Pengerusi KADA, Muhammad Husain berkata, KADA adalah kawasan jelapang padi negara kedua terbesar selepas Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan dari segi prestasi, hasil padinya melepasi paras purata nasional iaitu 4.1 tan metrik per hektar.

Menurut beliau, jumlah tersebut bagaimanapun masih ketinggalan berbanding hasil Jelapang Barat Laut Selangor iaitu 4.32 tan metrik per hektar; MADA dengan 4.24 tan metrik per hektar dan Jelapang Pulau Pinang iaitu 5.05 tan metrik per hektar.

Muhammad
Muhammad

“Antara faktor prestasi hasil pengeluaran padi yang rendah di KADA ialah kerana ketiadaan sistem pengairan yang sistematik dan ketika ini, KADA tidak mempunyai empangan untuk menampung atau menyimpan bekalan air berbanding jelapang lain.

“Selain itu, KADA juga berhadapan dengan penyusutan kawasan jelapang bagi tujuan pembangunan seperti komersial dan perumahan yang juga menjadi faktor hasil padi rendah di KADA,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Pengerusi KADA di Ibu Pejabat KADA di sini pada Ahad.

Sementara itu, Muhammad memaklumkan, terdapat cadangan untuk menambah kawasan jelapang padi di negeri ini bagi meningkatkan hasil pengeluaran, namun belum dapat dilaksanakan.

“KADA perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri jika berhasrat untuk membuka kawasan jelapang yang baharu di luar kawasan KADA kerana melibatkan penggunaan tanah.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini ada perbincangan dilakukan bersama pihak kerajaan negeri tetapi belum ada apa-apa keputusan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu KADA dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong menjalankan usaha untuk menyediakan benih padi sendiri.

“KADA perlu ada benih padi sendiri supaya tidak terus bergantung kepada import benih dari negeri lain seperti Kedah.

“Kita dalam rangka membuat persiapan ke arah itu bagi meningkatkan hasil keluaran dalam mencapai sasaran dan hala tuju baharu dalam transformasi industri padi serta beras negara iaitu Gelombang Padi,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!