Aplikasi baharu bantu masyarakat elak jadi mangsa 'scammer'

Kamal Affandi
Kamal Affandi
A
A
A

SHAH ALAM - Aplikasi baharu yang mempunyai mekanisme untuk terus melapor serta mengesan kedudukan penjenayah dalam talian ini perlu diwujudkan bagi memastikan mangsa penipuan dapat menggunakannya ketika panggilan berlangsung.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kes melibatkan jenayah penipuan dalam talian ini bukan satu isu baharu malah ia telah berlaku sejak beberapa tahun yang lalu.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu mekanisme selari dengan perkembangan teknologi semasa sebagai usaha mengelakkan ramai yang menjadi mangsa.

"Kerajaan disaran untuk mencipta aplikasi yang mempunyai 'hot key' ketika panggilan berlangsung antara mangsa dengan scammer, untuk memudahkan mangsa terus melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma ini juga perlu diwujudkan dengan teknologi yang dapat mengesan terus lokasi penjenayah terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, isu penipuan dalam talian ini merupakan soal kritikal yang dilibatkan campur tangan serius oleh kerajaan.

"Perlu diingat bahawa apa yang diidam masyarakat adalah campur tangan kerajaan bukan sahaja bagi memburu penjenayah terbabit tetapi juga mengembalikan hak mereka dengan tuntas.

"Mekanisme sebegini perlu diwujudkan sebagai kaedah untuk menampan sebarang cubaan mempedaya orang ramai oleh penjenayah penipuan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu pihak perbankan perlu memainkan peranan secara mendalam melibatkan kes penipuan ini.

"Urusan transaksi melibatkan akaun bank dan dalam hal ini, pihak perbankan perlu lebih proaktif dalam menghargai setiap pelanggan mereka.

"Penglibatan secara agresif perlu digerakkan untuk melaksanakan program kesedaran di lapangan dan bukan sekadar menyiarkan pesanan khidmat masyarakat menerusi media sosial semata-mata," katanya.

Kamal Affandi berkata, pihak perbankan seharusnya turut dipertanggungjawabkan apabila seseorang itu terperangkap serta menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Misalnya dalam kes melibatkan penipuan pinjaman, syaratnya perlu beri butiran akaun dan sebagainya, hakikatnya akaun milik mangsa berkenaan digunakan untuk tipu orang lain mengakibatkan mangsa juga dihadapkan ke mahkamah sedangkan mangsa dalam situasi tidak tahu berkaitan perkara itu.

"Apa yang kita persoalkan, mengapa bank tidak boleh dipertanggungjawabkan sedangkan akaun tersebut adalah milik pihak bank," katanya.

Jelasnya, dalam soal ini pihak bank perlu turut dipertanggungjawabkan terutamanya melibatkan soal keldai akaun.

"Sekiranya tanggungjawab ini dipikul secara bersama, saya percaya ia akan jadi satu 'wake up call' kepada semua pihak dalam usaha menangani jenayah penipuan dalam talian ini," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan jenayah komersial mencatatkan peningkatan ketara apabila statistik mencatatkan nilai kerugian lebih RM558.6 juta berbanding lebih RM181.6 juta bagi tempoh minggu keenam pada 2023 dan 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peningkatan turut direkodkan dari segi jumlah kes bagi tempoh sama.

Beliau berkata, menjangkau ke minggu keenam tahun 2024 iaitu sehingga 11 Februari, sejumlah 4,741 kes jenayah komersil telah direkodkan melibatkan nilai kerugian

RM558,668,375.22.

Jelas beliau, jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 3,530 kes dan nilai kerugian RM181,610,712.86.

Tambah beliau, kadar kes bagi tahun 2024 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 34.3 peratus manakala nilai kerugian

mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar dengan 207.6 peratus," katanya.