Penyelia perlu turun padang, ambil tahu semua hal di lapangan - KPN

Razarudin (tujuh kanan) hadir dalam Majlis Perjumpaan Bersama Penyelia Kontinjen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Ahad.
Razarudin (tujuh kanan) hadir dalam Majlis Perjumpaan Bersama Penyelia Kontinjen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh lagi mengamalkan sistem kerja di takuk lama dan perlu berganjak dengan lebih progresif untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap pasukan itu selaku agensi penguatkuasa undang-undang terulung negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keutamaan PDRM adalah untuk memperkasakan pendekatan 'command and control' ke arah transformasi peringkat penyeliaan pentadbiran di akar umbi pasukan.

"Penyelia perlu membudayakan konsep 'kepimpinan melalui teladan' dan turun padang dengan mengambil tahu semua hal di lapangan," katanya dalam Majlis Perjumpaan Bersama Penyelia Kontinjen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Ahad.

Razarudin berkata, pegawai pemerintah atau penyelia perlu tahu peranan masing-masing dan tidak seharusnya bergantung harap kepada laporan pegawai bawahan sahaja.

"Pantau keseluruhan operasi agar anak buah dapat merasakan 'bonding' kita sebagai ketua atau pemimpin mereka," ujarnya.

Beliau berkata, selain itu, kemajuan teknologi secara langsung telah menguji kemampuan PDRM dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa yang semakin kompleks, sehingga masyarakat menuntut elemen kepantasan dan ketepatan dalam perkhidmatan kepolisan.

Antara anggota dan pegawai polis yang hadir Majlis Perjumpaan Bersama Penyelia Kontinjen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Ahad.
Antara anggota dan pegawai polis yang hadir Majlis Perjumpaan Bersama Penyelia Kontinjen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Ahad.

"Kita mesti memberikan perhatian serius untuk meningkatkan kualiti penyiasatan yang lebih teratur dan sistematik, maka adalah menjadi prioriti kepada kita untuk memastikan tahap siasatan memenuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu semua pegawai penyiasat muda diberikan pendedahan, latihan dan penyeliaan yang jitu agar mereka 'able and capable' mengendalikan sesuatu kes," tegasnya.

Dalam majlis itu, Razarudin turut melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pegawai yang masih mengamalkan sikap 'acuh tak acuh' terhadap aduan yang telah dimaklumkan kepada PDRM, sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.

"Semua Ketua Polis Daerah perlu semak kembali tatacara penugasan dan pelaporan dari Pusat Kawalan Daerah masing-masing bagi meningkatkan tahap 'respond time' PDRM," katanya.

Dalam amanat itu, Razarudin turut mengulas berkenaan peranan Unit Rondaan Bermotosikal dan kereta peronda yang merupakan barisan hadapan utama paling dekat dengan masyarakat.

"Jagalah hubungan baik dan tingkah laku di hadapan masyarakat, pastikan para 'frontliners' kita sentiasa bersiap siaga untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai," katanya.

Majlis yang berlangsung selama dua jam itu turut dihadiri oleh barisan ketua polis ketiga-tiga buah kontinjen, Ketua-ketua Jabatan IPK Kedah.