Saya bukan individu didakwa di mahkamah tuduhan salah guna kuasa - Abu Bakar

Abu Bakar Foto Bernama
Abu Bakar Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Bekas Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd, Datuk Abu Bakar Abdul menafikan, beliau merupakan individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat lalu atas satu pertuduhan salah guna kuasa.

Beliau berkata, memandangkan namanya dan tertuduh dalam kes itu hampir sama, mungkin ada pihak yang keliru dengan berita yang disiarkan Jumaat lepas.

Abu Bakar berkata, beliau berkhidmat di anak syarikat kerajaan negeri itu bermula 8 April 2020 sehingga 31 Januari 2023, manakala kes yang dibawa ke mahkamah berlaku pada 2018.

"Saya menafikan diri saya terlibat dengan salah guna kuasa sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini dan mungkin ada pihak yang keliru dengan berita tersebut, sekali gus membuat pelbagai andaian memandangkan nama saya dan tertuduh hampir sama.

"Justeru saya berharap tiada lagi andaian dibuat oleh mana-mana pihak berdasarkan berita terdahulu dan tidak memperbesar-besarkan isu ini lagi,” katanya kepada pemberita di sini.

Jumaat lepas (16 Februari), Abu Bakar Jani, bekas pengurus besar Panorama Melaka Sdn Bhd sebuah anak syarikat kerajaan negeri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas pertuduhan salah guna kuasa dengan melantik anak perempuannya memegang jawatan di syarikat sama pada Disember 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: