'Keropok gergasi' pilihan cenderahati majlis keramaian

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keropok lekor bersaiz besar atau lebih popular digelar sebagai keropok gergasi kini menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai cenderahati pada majlis keramaian.

Pengusaha Kori Keropok Lekor Losong (2K2L), Ahmad Bukhari Ayob, 38, berkata, dia menerima beberapa tempahan dalam kuantiti yang banyak oleh tuan rumah untuk menjadikan keropok lekor seberat 500 gram sebatang itu sebagai buah tangan kepada tetamu.

Perbezaan saiz antara keropok biasa dan keropok gergasi.
Perbezaan saiz antara keropok biasa dan keropok gergasi.

Menurutnya, keunikan saiz keropok antara faktor memudahkan proses pembungkusan sekali gus dapat menjimatkan masa.

"Biasanya orang beli keropok ini untuk makan biasa sahaja, tapi baru-baru ni saya terima tempahan 75 batang keropok saiz besar ini untuk dijadikan buah tangan kepada tetamu yang datang ke sebuah majlis tahlil.

"Saya nampak agak berbeza dan menarik kerana tuan rumah jadikan ia (keropok gergasi) sebagai cenderahati kepada tetamu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Ahmad Bukhari berkata, terdapat dua pilihan saiz keropok yang dijual di premisnya iaitu RM1 bagi setiap sebatang untuk keropok biasa seberat 100 gram dan RM5 bagi keropok gergasi.

Jelasnya, penyediaan keropok gergasi agak cerewet kerana ia memakan masa yang lebih lama untuk masak, namun adunan bahan yang digunakan sama seperti keropok saiz biasa.

Artikel Berkaitan:

"Untuk keropok saiz besar ini ia mengambil masa selama setengah jam untuk masak ketika direbus, berbeza dengan keropok saiz biasa (kecil) yang mengambil masa selama 20 minit.

"Bagaimanapun, kedua-dua keropok ini mempunyai peminatnya yang tersendiri," ujarnya yang mempunyai seramai 12 pekerja.

Bercerita lanjut, Ahmad Bukhari memberitahu, sebelum ini dia hanya hasilkan keropok gergasi berdasarkan tempahan namun kini sebanyak 200 batang keropok gergasi dihasilkan setiap hari di lokasi jualan yang beroperasi di Losong, di sini.

Ahmad Bukhari (tiga dari kanan) melayan pelanggan yang berkunjung di premisnya yang beroperasi berdekatan Muzium Negeri Terengganu di Losong, Kuala Terengganu.
Ahmad Bukhari (tiga dari kanan) melayan pelanggan yang berkunjung di premisnya yang beroperasi berdekatan Muzium Negeri Terengganu di Losong, Kuala Terengganu.

"Saya mula hasilkan keropok gergasi ini pada 2015, ketika itu saya hanya buat melalui tempahan dan sambutan terhadap keropok ini semakin berkembang sehingga kita perkenalkan keropok lekor gergasi vakum.

"Untuk sambutan musim persekolahan kali ini kita gandakan bahan untuk hasilkan keropok kepada sekali ganda, biasanya sebanyak 300kg ikan digunakan ketika jualan hari biasa bersama 400kg tepung, kini kita guna lebih 500kg ikan dan lebih 500kg tepung.

"Sambutan musim cuti persekolahan kali ini agak meriah namun pelanggan tidak datang serentak kerana musim cuti Tahun Baharu Cina kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Jadi ada antara mereka ambil peluang untuk bercuti ke tempat lain dahulu sebelum ke Terengganu," katanya.

Menurut Ahmad Bukhari, dia berhasrat untuk meluaskan lagi perniagaan dengan mencari lokasi berasingan bagi proses pembuatan keropok, selain lokasi jualan yang beroperasi berdekatan Muzium Negeri Terengganu, di sini.

Ahmad Bukhari menunjukkan keropok gergasi vakum yang menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai cenderahati pada majlis keramaian.
Ahmad Bukhari menunjukkan keropok gergasi vakum yang menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai cenderahati pada majlis keramaian.

"Kita perlu kepada lokasi khusus kerana permintaan terhadap keropok lekor ini semakin meningkat dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kita juga telah ada mesin pengguli dan vakum jadi ia akan memudahkan lagi proses pembuatan keropok selepas ini," katanya.