Tak mudah naik Liga Super

Stuart. Laporan Sukan Sinar.
Stuart. Laporan Sukan Sinar.
A
A
A

PERLIS United FC bakal berdepan penilaian ketat daripada badan bebas First Instance Body (FIB) sebelum dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Sama seperti tiga pasukan lain iaitu Imigresen FC (IFC), Harini FT dan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) yang sebelum ini telah menghantar permohonan beraksi dalam Liga Super musim depan akan dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan FIB.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, FIB akan meneliti sebaik mungkin kesemua dokumen yang telah dihantar oleh Perlis United sebelum membuat sebarang keputusan.

“Terpulang kepada FIB untuk memeriksa dan menerima dokumen ini. FIB juga akan melihat butiran semua pasukan dengan teliti dan berdasarkan semua kriteria yang ditetapkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebelum ini, MFL telah membuka semula permohonan lesen luar biasa kepada semua kelab Liga M3 selepas keputusan FIB dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam musim baharu Liga Super.

Tiga pasukan dilaporkan telah menghantar permohonan iaitu Imigresen FC, Harini FT dan KL Rovers sebelum tarikh tutup pada 2 Februari lalu.

Bagaimanapun, Perlis United membuat kejutan apabila menyatakan akan muncul dalam saingan Liga Super selepas mendapat tawaran daripada MFL untuk mengisi slot negeri musim depan.

Dalam pada itu, Stuart menafikan MFL menjemput Perlis United sebaliknya pasukan itu yang meminta lanjutan masa untuk menyerahkan dokumen.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak menjemput Perlis. Mereka meminta lanjutan tarikh akhir untuk menyerahkan dokumen dan telah menghantarnya awal minggu ini,” katanya.

Perlis sebelum ini disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 2019 susulan berdepan masalah kewangan.