Pembesaran LTAPP: Isu penempatan semula kakitangan MAHB selesai

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

BUKIT TENGAH - Kerajaan Pulau Pinang telah menyelesaikan isu penempatan semula kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang terjejas akibat projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lebih 50 unit rumah mampu milik di Teluk Kumbar sudah ditawarkan untuk penempatan semula buat kakitangan yang terlibat.

Menurutnya, projek berkenaan juga tidak melibatkan pengambilan tanah.

“Peranan kerajaan negeri dalam projek ini terhad, namun ia perlu disegerakan memandangkan sektor pelancongan sudah kembali pulih.

"Malah kita telah berjaya menguruskan pertambahan penerbangan ke Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan kerja-kerja pembesaran LTAPP disegerakan bagi menampung keperluan mendesak pada masa kini, Kon Yeow berkata, ia mungkin mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.

Jelasnya, usaha untuk menambah penerbangan mungkin akan terhalang susulan kemudahan yang tidak mencukupi di lapangan terbang terbabit.

“Justeru, diharapkan agensi terlibat khususnya Jabatan Imigresen dapat melihat tindakan jangka pendek bagi memudahkan aliran trafik dalam terminal.

Artikel Berkaitan:

“Ia bertujuan supaya pengalaman pelancong dan pengunjung yang tiba di LTAPP tidak terjejas ekoran kesesakan yang berlaku semasa projek sedang berjalan,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri mahukan projek pembesaran LTAPP di Bayan Lepas disegerakan bagi menampung keperluan mendesak dengan pertambahan jumlah penumpang pada masa kini.

Menurutnya, Pulau Pinang terkenal sebagai lokasi tarikan pelancongan yang sangat berjaya namun berdepan masalah kesesakan di lapangan terbang.

Untuk rekod, LTAPP telah dinaik taraf pada 2013 untuk menampung 6.5 juta penumpang setahun, namun menjelang 2019, ia mencatatkan sejumlah 8.3 juta penumpang setahun.

Kementerian Pengangkutan meluluskan cadangan pembesaran lapangan terbang itu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini tetapi ia ditangguhkan selepas berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan Persekutuan pada awal tahun 2020.

Kerajaan Persekutuan juga berkata bahawa rancangan pembesaran lapangan terbang di seluruh negara akan ditangguhkan sementara menunggu kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) dimuktamadkan.