Berbalas tembakan: Polis jumpa lima kelongsong peluru

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ALOR SETAR - Lima kelongsong peluru termasuk dua daripadanya yang ditembak daripada senjata semi auto milik penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ditemukan di jalan Bukit Kechik, Napoh, Changlun, dekat sini, pada lewat petang Jumaat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sejumlah kelongsong terbabit ditemui selepas Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan pemeriksaan susulan di tempat kejadian.

“Sepasukan anggota dari unit forensik dan dibantu Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian berjaya menemui sejumlah lima kelongsong peluru dalam kejadian berbalas tembak.

“Kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau menambah, sebelum ini, mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

"Sehubungan itu, polis akan mengeluar kenyataan hasil daripada bedah siasat yang masih dilakukan sehingga petang Sabtu,"katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dengan penjenayah lain dalam aktiviti penyeludupan dan penjualan senjata api dan peluru.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan seorang penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechil, Napoh pada jam 5.30 petang.

Dalam kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian D9 JSJ Kedah sedang melakukan rondaan Op Laras dan mengarahkan kereta yang dipandu suspek berhenti selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, suspek pada awalnya enggan berhenti, namun keretanya terbabas ke kiri jalan dan terhenti sebelum suspek bertindak melepaskan dua das tembakan.

Suspek berusia 57 tahun kemudiannya berjaya ditumpaskan dan pemeriksaan dalam keretanya menemukan dua pucuk pistol dan sejumlah peluru.