Penjenayah bersenjata maut ditembak polis

Fisol menunjukkan barang rampasan yang dirampas daripada kenderaan suspek pada Jumaat.
Fisol menunjukkan barang rampasan yang dirampas daripada kenderaan suspek pada Jumaat.
A
A
A

KUBANG PASU - Seorang penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechil, Napoh di sini pada petang Jumaat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian berlaku pada jam 5.30 petang ketika sepasukan polis dari Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah sedang melakukan rondaan Op Laras di jalan terbabit.

Katanya, pasukan berkenaan mengarahkan kereta yang dipandu suspek berhenti selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek pada awalnya enggan berhenti, namun keretanya terbabas ke kiri jalan dan terhenti sebelum suspek bertindak melepaskan dua das tembakan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, tembakan yang dilepaskan penjenayah itu menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

"Mereka akhirnya berjaya menumpaskan penjenayah yang berusia 57 tahun itu," katanya.

Jelasnya, pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan dua pucuk pistol dan sejumlah peluru.

"Kita telah merampas senjata api terbabit termasuk 100 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm), 100 butir peluru jenis.38 dan juga peluru 5.56 yang digunakan untuk rifle seperti M-16," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Fisol, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan warga tempatan mempunyai empat rekod jenayah membabitkan dadah dan senjata api palsu.

"Kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.