Projek SPRWTS dipercepatkan - Kon Yeow

Kon Yeow (lima dari kiri) bergambar bersama tetamu jemputan ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan pada Sabtu.
Kon Yeow (lima dari kiri) bergambar bersama tetamu jemputan ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT TENGAH - Kerajaan Pulau Pinang menghargai peranan dan usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempercepatkan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) ke Pulau Pinang demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri terbabit.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Perdana Menteri bukan sahaja menjadi pemudah cara dalam mempercepatkan projek berkenaan malah beliau sendiri berbincang dengan pelbagai pemegang taruh daripada kementerian berkaitan, kedua-dua kerajaan negeri dan juga pihak konsultan serta swasta yang akan terlibat dalam perlaksanaan projek ini.

Menurutnya, Perdana Menteri menyatakan bahawa persetujuan dapat dicapai kerana beliau mahu melihat kepentingan negara melepasi kepentingan negeri-negeri tambahan kerajaan Persekutuan telah umumkan untuk membangunkan kawasan Perak Utara menjadi taman-taman perindustrian bagi negeri Perak kerana akan menjadi sebahagian daripada pembangunan ekonomi wilayah utara semenanjung.

"Semalam dalam lawatan Perdana Menteri ke Pulau Pinang beliau membawa berita baik kepada kita dan saya secara peribadi menganggap perkara itu adalah berita yang paling baik setelah beberapa siri rundingan dan perbincangan pelbagai pihak dari pelbagai peringkat akhirnya projek SPRWTS ini akan dilaksanakan dengan segera.

"Kita bukan mahu lihat Pulau Pinang sahaja maju disebabkan pembangunan ekonomi dan industri yang kita miliki, namun ia juga dapat bawa impak yang positif kepada negeri jiran, Kedah dan Perak khususnya di kawasan Perak utara yang masih memerlukan penubuhan estet-estet perindustrian.

"Berikutan itu ia akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat negeri Perak selain menggalakkan pembangunan pada keseluruhannya wilayah utara semenanjung ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan di Autocity dekat sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Anwar ketika lawatan kerjanya di Pulau Pinang mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju membangunkan infrastruktur 'Kerian Hi-Tech' sebagai usaha menyelesaikan isu sumber air mentah di negeri itu.

Ahli Parlimen Tambun itu dilaporkan berkata, projek baharu itu akan disegerakan dan diyakini membawa limpahan manfaat kepada selatan Seberang Prai termasuk Sungai Acheh.

Artikel Berkaitan:

“Memang berlaku kelewatan untuk mendapat keyakinan dari kerajaan Perak, walau bagaimanapun bekalan air dan tenaga yang ditumpukan dari Sungai Perak ke kawasan Kerian telah mendapat persetujuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, akhirnya kerajaan Perak telah memandang dengan positifnya bahawa dengan tertubuhnya taman-taman industri maka perlunya bekalan air yang mencukupi.

Katanya, disebabkan keadaan menjadi mendesak projek SPWRTS ini perlu dilaksanakan bukan untuk menampung keperluan rakyat Pulau Pinang tetapi pentingnya juga untuk keperluan di bahagian Perak Utara kerana akan wujudnya kawasan yang luas bagi tujuan taman industri di Perak utara ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28