Majlis Iran isytihar Pentagon sebagai pengganas

Kesemua 233 ahli Majlis sebulat suara meluluskan langkah mengisytiharkan Pentagon dan subsidiari serta institusi mereka sebagai pertubuhan pengganas. -Foto Agensi
Kesemua 233 ahli Majlis sebulat suara meluluskan langkah mengisytiharkan Pentagon dan subsidiari serta institusi mereka sebagai pertubuhan pengganas. -Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN - Parlimen Iran (Majlis) semalam sebulat suara meluluskan langkah untuk mengisytiharkan Pentagon dan kesemua subsidiari serta institusi mereka sebagai pengganas.

Keputusan itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) membunuh Komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral, Qasem Soleimani di bawah arahan Presiden Donald Trump pada Jumaat lalu.

Kesemua 233 ahli Majlis yang hadir pada sesi terbuka Parlimen itu bersetuju menerima pakai usul tersebut yang meminda undang-undang terdahulu yang melabelkan pasukan AS yang ditempatkan di Asia Barat dikenali sebagai Pusat Perintah AS (CENTCOM) sebagai pertubuhan pengganas.

Pindaan itu juga menggesa kerajaan memperuntukkan 200 juta Euro (RM913 juta) daripada Dana Pembangunan Negara Iran untuk Pasukan Quds IRGC yang kini dipimpin oleh Brigadier Jeneral, Esmail Ghaani.

Difahamkan, versi awal undang-undang tersebut diluluskan pada April 2018 sebagai tindak balas terhadap keputusan AS yang menyenaraihitamkan IRGC.

Susulan proses pengundian itu, ahli Majlis turut melaungkan 'Jahanam Amerika' dan menggesa tindakan balas dendam dilancarkan ke atas mereka. - Agensi

Artikel Berkaitan: