NSSTF tumpu aspek insentif, bakat untuk transformasi industri E&E

Tengku Zafrul Foto Bernama
Tengku Zafrul Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) akan memberi tumpuan terhadap aspek insentif, bakat, serta ekosistem dalam menjalankan transformasi dan penambahbaikan industri elektrik dan elektronik (E&E) negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika mempengerusikan mesyuarat pertama NSSTF berkata, kajian dan pembaharuan dasar insentif adalah antara perkara yang diutamakan oleh kementerian dan NSSTF bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI) bagi menjana pertumbuhan sektor E&E ini.

"Selain itu, pembangunan dan penghasilan bakat berkualiti juga akan diutamakan untuk memenuhi permintaan yang dinamik oleh industri supaya kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi dan kecemerlangan kekal kukuh.

"NSSTF juga akan mengenal pasti sektor bersesuaian untuk membentuk asas pertumbuhan yang mampan, contohnya melalui program pembangunan vendor tempatan kerana kita juga perlu membuka peluang kepada syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menerima manfaat dari perkembangan ekosistem industri E&E Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

NSSTF ditubuhkan melalui Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara pada 9 Januari lepas sebagai satu platform khusus untuk membincang dan melaksanakan hala tuju pembangunan ekosistem industri semikonduktor Malaysia, termasuk usaha menarik pelaburan strategik dan berkualiti.

Pasukan petugas itu memperkenalkan secara rasmi 10 pakar industri yang menjadi ahli panel penasihat khas kepada NSSTF terdiri daripada pakar dalam pelbagai rantaian nilai dan bekalan dalam industri semikonduktor di Malaysia, mewakili syarikat tempatan dan juga multinational corporation (MNC).

"Panel penasihat khas berperanan memberi pandangan dan maklum balas kepada NSSTF mengenai strategi dan dasar bagi membolehkan Malaysia terus berkembang dan meningkatkan kedudukannya di dalam industri semikonduktor global," katanya.

Dalam pada itu, Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) akan berfungsi sebagai sekretariat yang menyelaras aktiviti perkongsian pengetahuan dan perancangan strategik melalui NSSTF. - Bernama

Artikel Berkaitan: