BIPK: Ahli Cuepacs sedia ke Putrajaya jika kerajaan gagal runding

Adnan ketika sidang media Cuepacs dan MSN selepas mesyuarat berhubung isu pemansuhan BIPK.
Adnan ketika sidang media Cuepacs dan MSN selepas mesyuarat berhubung isu pemansuhan BIPK.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak teragak-agak untuk membawa lebih 3,000 ahlinya ke Putrajaya untuk mengadakan pertemuan beramai-ramai dengan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) jika tiada rundingan diatur berhubung isu pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Pengerusi Cuepacs, Adnan Mat berkata, pihaknya telah menghantar nota bantahan sebelum ini, namun sehingga kini kerajaan masih gagal bertemu dengan Cuepacs walaupun Kabinet akan memberikan keputusan mengenai pemansuhan BIPK hari ini.

Menurutnya, Cuepacs tetap dengan pendirian menolak cadangan pemansuhan itu meskipun kerajaan memberi jaminan ia tidak melibatkan penjawat awam sedia ada bagi memastikan suasana harmoni dalam kalangan penjawat awam terus terjaga.

"Kami mempertahankan BIPK kerana kami tahu kesusahan kami bekerja ketika ini dan kenapa keperluan wujudnya BIPK pada waktu ini dan kenapakah penjawat awam akan datang ini perlukan BIPK.

"Kami memohon kerajaan supaya membuat rundingan dengan Cuepacs supaya kami difahamkan apakah sebenarnya hasrat kerajaan melalui perlaksanaan ini. Ke manakah arah penjawat awam dengan pemansuhan BIPK ini untuk kami dapat berikan kefahaman kepada ahli kami supaya mereka faham dan akhirnya boleh bersama kerajaan dalam menguruskan dasar dan perubahan kerajaan.

"Jika JPA gagal untuk menguruskan pertemuan ini kami boleh membawa ahli kami, mungkin lebih 3,000 yang terlibat untuk berjumpa secara serentak. Ini bukan mogok, tapi perjumpaan secara beramai-ramai di Putrajaya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Majlis Senator Negara (MSN) di Parlimen hari ini.

Mesyuarat itu membincangkan kesediaan MSN untuk menjadi platform membolehkan pertemuan dan rundingan diatur antara JPA dan Cuepacs berhubung isu pemansuhan BIPK.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kegagalan kerajaan membuat rundingan bersama Cuepacs seperti mana kelaziman yang dibuat dalam isu-isu lain sebelum ini telah mewujudkan prasangka negatif terhadap kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Paling buruk ada tanggapan adakah pegawai kerajaan yang sedang menguruskan ini cuba sabotaj kerajaan hari ini apabila tidak mengadakan sesi rundingan.

"Ini akan memberi impak kepada kerajaan bahawa kerajaan tidak prihatin dengan pelbagai isu semasa yang wujud di luar sana," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MSN, Datuk Seri Khairudin Abd Samad berkata, desakan pemotongan elaun menteri tidak akan membawa kepada penyelesaian sebaliknya pemberian elaun kepada pegawai Jusa kerajaan yang perlu diteliti semula kerana jumlahnya lebih ramai berbanding menteri.

Ujarnya, penjawat awam yang bekerja dalam suasana kritikal tidak patut dihukum dengan pemansuhan BIPK.

"Jika tidak fikir panjang dan tak menjaga kepentingan mereka, kita bimbang satu hari nanti tak ada orang yang nak bekerja menjadi doktor, jururawat dan sebagainya.

"Siapa yang nak ambil alih pekerjaan mereka? Siapa yang mahu cuci najis dan sebagainya," katanya.

Perlaksanaan pemansuhan BIPK yang akan melibatkan pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020 telah menimbulkan pertikaian awam.

Sebanyak lapan jenis elaun penjawat awam akan dihapuskan antaranya ialah Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Khas Penolong Pemungut Hasil Tanah, Insentif Profisiensi Bahasa Inggeris, Bayaran Insentif Angkat Najis, Elaun Kritikal Doktor dan lain-lain.

Kerajaan kemudiannya mengumumkan penangguhan perlaksanaan itu dan Kabinet dijangka bakal memberi keputusan mengenai perkara itu dan hala tuju BIPK pada esok.