Waspada ular dalam kasut!

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan bomba dan penyelamat menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan kehadiran ular di kawasan penempatan masing-masing berikutan cuaca panas yang mula melanda seluruh negara.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, orang ramai juga diminta memeriksa kasut yang diletakkan di rak sebelum memakainya kerana khuatir reptilia itu bersembunyi di dalamnya.

Menurutnya, berlaku peningkatan panggilan tangkapan ular sejak bulan lalu.

Katanya, setiap hari sekurang-kurangnya satu kes melibatkan haiwan berbisa dan paling banyak kes direkod adalah penemuan ular di kawasan kediaman.

“Jika tengok statistik memang ada peningkatan kes panggilan binatang berbisa terutamanya ular.

“Kebanyakkannya ditemui di dalam rumah di bahagian dapur atau stor berkemungkinan kerana ruang ini lebih sejuk dan gelap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Norazam berkata, bagi mengelakkan kehadiran haiwan berbisa itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya menutup lubang dan ruang yang membolehkan haiwan itu akses ke dalam rumah.

Menurutnya, bahagian dapur menjadi tempat kesukaan haiwan berbisa itu menyelinap masuk disebabkan keadaannya yang lembab.

Artikel Berkaitan:

“Waktu panas memang ular akan cari tempat sejuk dan lembab, jadi saya minta orang ramai berhati-hati.

“Jangan lupa, periksa juga rak kasut dan gerakkan dulu kasut sebelum memakainya kerana bimbang haiwan itu bersembunyi di dalamnya,” katanya.

Dalam pada itu, Norazam turut meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama berdekatan kawasan tanah gambut ketika musim cuaca panas.

Menurutnya pihaknya khuatir kaedah pembersihan kebun menerusi pembakaran terbuka akan menyebabkan ia merebak dan sukar dikawal.

“Hentikan pembakaran pembersihan kebun melalui kaedah pembakaran kerana ia boleh melarat dan merebak,” katanya.