Peniaga buat untung dengan idea IPR Rafizi

Rohaya Daud, 68, dari Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 3 membeli nasi berlauk dengan harga RM5 melalui mesin layan diri ketika berurusan di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta yang terletak di Gugusan Manjoi. Foto Bernama
Rohaya Daud, 68, dari Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 3 membeli nasi berlauk dengan harga RM5 melalui mesin layan diri ketika berurusan di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta yang terletak di Gugusan Manjoi. Foto Bernama
A
A
A

MESIN layan diri (vending machine) yang juga sinonim dengan panggilan mesin gedegang bukanlah sesuatu yang baharu di negara kita tetapi tidak diketahui bilakah secara jelasnya perniagaan jenis ini memasuki negara kita.

Namun ia kembali menjadi perhatian pada tahun lalu apabila Kerajaan Madani memperkenalkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN).

Program yang diperkenalkan pada Mac itu bagaimanapun menjadi isu hangat apabila terdapat sebilangan rakyat di negara ini yang mempersendakan inisiatif tersebut.

Mereka menganggap usaha menjual makanan menggunakan mesin layan diri yang dikelolakan oleh Kementerian Ekonomi itu hanya sia-sia dan tidak menguntungkan.

Malah ada juga yang mendakwa inisiatif tersebut merupakan bukti yang menunjukkan kementerian tersebut kontang idea untuk meningkatkan ekonomi negara ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan harga barang.

Namun, inisiatif yang bertujuan membantu golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan itu akhirnya membuka mata ramai apabila seorang demi seorang pesertanya meraih pendapatan bulanan mencecah RM3,000.

Seorang peserta, Ismail Awang dari Ipoh memberitahu, dia meraih keuntungan jualan sebanyak RM13,000 sejak memulakan perniagaan mesin layan diri itu pada September tahun lalu di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Guru agama sambilan di Sekolah Rendah Agama (SRA) itu berkata, model perniagaan yang diusahakan bukan sahaja menjimatkan masa malah ia juga dapat membantu meringankan beban kos sara hidup.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang peserta dari Kuala Lumpur, Nurul Hidayah Fadira Hassan Basri pula mengakui dia memperoleh RM3,000 sebulan selepas menyertai inisiatif tersebut pada Jun tahun lalu.

Dia yang meletakkan mesin layan diri dipohonnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu memberitahu sebanyak 150 bungkus makanan habis dijual pada setiap hari.

Berdasarkan testimoni peserta-peserta IPR Insan itu, ia jelas menunjukkan inisiatif tersebut berjaya membantu golongan B40 meningkatkan pendapatan, sekali gus meringankan beban kos sara hidup dihadapi.

Malah pelaksanaan program tersebut juga dilihat berjaya mencapai objektifnya yang menyasarkan setiap pesertanya meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Dianggarkan seramai 81 peserta telah mendapat manfaat daripada IPR Insan yang mana setiap seorang daripadanya berjaya meraih purata jualan harian antara RM150 hingga RM400.

Justeru, adalah tidak benar untuk mengatakan IPR Insan itu sesuatu yang sia-sia dan tidak menguntungkan rakyat sedangkan inisiatif tersebut pada ketika itu belum menunjukkan hasilnya.

Secara amnya, perniagaan mesin layan diri mempunyai prospek yang baik kepada rakyat di negara ini terutamanya bagi golongan B40 untuk menambah pendapatan, sekali gus mengurangkan bebas kos sara hidup.

Tambahan pula nilai pasaran global perniagaan mesin layan diri yang bernilai RM94.3 bilion pada 2023 itu dijangka meningkat naik sehingga RM180.3 bilion pada 2032, lapor sebuah syarikat penyelidikan pasaran antarabangsa, Precedence Research.

Malah, Malaysia juga antara negara disebut-sebut sedang menikmati lonjakan perniagaan mesin layan diri sebanyak 70 peratus sejak 2022 susulan beberapa faktor seperti permintaan, kos penyelenggaraan dan teknologi moden, menurut laporan Nikkei Asia.

Atas keyakinan itulah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah mengetengahkan idea mesin layan diri ini pada tahun lalu dengan harapan rakyat menyambut inisiatif tersebut dengan baik kerana hasilnya memberangsangkan.

Malangnya apa yang diketengahkan oleh beliau itu telah dipandang rendah oleh segelintir pihak yang tidak senang dengan idea tersebut terutamanya mereka yang bertentangan ideologi politik.

Jadi, alangkah baiknya jika Kerajaan Madani terus memperkasakan perniagaan jenis ini dengan memperluaskan lagi skop permohonannya kepada mana-mana rakyat Malaysia yang berminat mengusahakannya.

* Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Penyunting Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!