Syed Kamarulzaman dilantik Pengerusi MAIWP baharu

Syed Kamarulzaman Syed Kabeer. Foto: Persatuan Falak Syar'i Malaysia
Syed Kamarulzaman Syed Kabeer. Foto: Persatuan Falak Syar'i Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), berkuat kuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, memaklumkan bahawa pelantikan ini dibuat selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

"Syed Kamarulzaman adalah seorang jurutera elektronik dan komputer dan telah bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama lebih dari 33 tahun.

"Beliau merupakan seorang tokoh dan intelektual Islam yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi selain memikul amanah sebagai panel pemikir dan penasihat kepada beberapa organisasi antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Jelas Mohd Na'im lagi, Syed Kamarulzaman juga adalah Yang Dipertua Persatuan Falak dan Syarie Malaysia dimana beliau telah terlibat dalam mereka bentuk dan membina jam matahari selama hampir 15 tahun.

"Jam mataharinya dirancang untuk menjadi arca berfungsi yang boleh dijadikan sebagai alat bantu pedagogi dalam mengajar astronomi. Mizwalah TaHa yang direka beliau telah memenangi penghargaan dan anugerah di peringkat antarabangsa. Pada tahun 2023, beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2023 atas jasa dan bakti dalam membangunkan bidang astronomi Islam di Malaysia.

"Sesungguhnya pengalaman luas Tuan Haji Syed Kamarulzaman seorang tokoh dan intelektual Islam amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan MAIWP," katanya.

Dalam pada masa yang sama, beliau juga merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Daud Bakar atas segala jasa bakti dalam perkhidmatan yang diberikan dalam memimpin MAIWP bagi sesi 2021-2024.

Artikel Berkaitan:

"Seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mendoakan agar beliau akan terus diberikan bimbingan dan taufik daripada ALLAH untuk memikul amanah besar ini demi memartabatkan Islam dan umat Islam," katanya.