Budak maut ditimpa dinding konkrit: JKM sedia khidmat kaunseling buat keluarga

Halimaton Shaadiah, Laporan Sinar Harian
Halimaton Shaadiah, Laporan Sinar Harian
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang maut selepas ditimpa dinding konkrit di rumahnya di Kuala Ketil, Baling pada Isnin lalu.

Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Baling sudah pun hadir ke rumah ibu bapa mangsa untuk menyediakan laporan siasatan.

Menurutnya, pegawai psikologi telah mengesyorkan sesi kaunseling kepada keluarga mangsa dan Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 diberikan untuk meringankan beban keluarga terbabit.

“Bantuan bersesuaian akan diberikan kepada keluarga mangsa jika memenuhi syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Selasa, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut akibat ditimpa batu bata daripada dinding yang runtuh dalam kejadian di rumahnya, di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil, Baling.

Mangsa, Wan Abdul Aziz Wan Mohd Solehuddin, 8, mengalami cedera parah pada anggota badan dan kepala disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar.

Adik mangsa, Wan Mohd Baihaqi, 4, pula hanya mengalami cedera ringan di belakang badan akibat kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, keterangan ibu bapa mangsa masing-masing berusia 30 dan 39 tahun itu telah diambil pada hari kejadian dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel Berkaitan: