Pemandu lori didakwa sebabkan kematian tiga anggota tentera

Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Gurun kerana menyebabkan kematian ke atas tiga anggota tentera.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Gurun kerana menyebabkan kematian ke atas tiga anggota tentera.
A
A
A

GURUN - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gurun pada Khamis kerana menyebabkan kematian tiga anggota tentera dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan awal Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Huzaifah Azhari, 31, dari Alor Setar membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu lori dalam keadaan merbahaya dan menyebabkan kematian kepada Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30, Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, dan Koperal Mohd Asri Idris, 40.

Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang 10.30 pagi di Kilometer 77.5 Lebuhraya arah utara dalam daerah Kuala Muda.

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum bawah Seksyen dan akta yang sama.

Tertuduh diiringi pegawai polis dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Gurun pada Khamis.
Tertuduh diiringi pegawai polis dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Gurun pada Khamis.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ummi Kalthum Zakaria.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, Ummi Kalthum merayu agar wang jaminan paling minimum dikenakan memandangkan tertuduh kini menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih kecil.

Mahkamah bagaimanapun menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin sementara lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac 2024.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah lori di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat Gurun 2 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Ketiga-tiga anggota berkenaan dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak sedang dalam konvoi melibatkan tiga buah trak menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.

Namun demikian, salah sebuah kenderaan konvoi berkenaan telah mengalami kerosakan yang menyebabkan mereka terpaksa berhenti di laluan kecemasan lebuh raya sebelum dirempuh oleh sebuah lori di lokasi kemalangan.