Selepas rokok dan vape, timbul pula energy stick

Poster hebahan Public Health Malaysia mengenai 'energy stick' yang dimuat naik di platform X pada 4 Februari lalu.
Poster hebahan Public Health Malaysia mengenai 'energy stick' yang dimuat naik di platform X pada 4 Februari lalu.
A
A
A

PONTENG sekolah, merokok, melawan guru, gangguan seksual, vape dan merempit adalah antara isu membabitkan pelajar yang hangat diperkatakan sama ada di akhbar-akhbar tempatan, forum, seminar pendidikan dan sebagainya.

Pelbagai langkah telah diambil bagi membendung masalah disiplin berkenaan namun ia seakan-akan tiada kesudahan sehinggakan dilihat semakin berleluasa dan sukar dikawal.

Terbaharu, timbul pula kewujudan energy stick iaitu produk penyedut hidung yang memberikan tenaga dan kesegaran kepada pengguna dan dijual secara terbuka serta berleluasa dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10 sahaja.

Memetik perkongsian Public Health Malaysia di laman Facebook, energy stick bersaiz kecil, hanya sebesar pemetik api, berwarna-warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik.

Terdapat dua corong yang muat ke lubang hidung dan boleh di sedut melalui hidung terus ke paru-paru.

Pengambilan produk yang menggunakan tag line ‘sedut dahulu, baru pergi ke sekolah’ atau ‘sedut dulu, baru mulakan kerja’ sama seperti pengambilan dadah melalui hidung atau snorting dan secara psikologinya sangat negatif kerana menggalakkan pengguna mencuba bahan lain termasuk dadah.

Bagi penulis, penularan energy stick dalam kalangan pelajar hari ini sudah cukup menakutkan dan membebankan ibu bapa dan guru-guru.

Apa tidaknya, pemantauan demi pemantauan harus dilakukan sepanjang masa demi menggelakkan anak-anak terjebak dengan energy stick.

Artikel Berkaitan:

Tapi sampai bila nak pantau? Jika di rumah, bolehlah dimarah dan ditegur anak-anak ini. Tapi jika mereka berada di luar, bagaimana? Sekiranya pelajar ambil energy stick, adakah ibu bapa tahu? Aduh, sesak nafas dibuatnya jika memikirkan sesuatu yang sangat rumit.

Dalam konteks ini, penulis hanya terfikir agar pihak berkaitan mengambil langkah segera untuk menangani isu berkenaan daripada berterusan.

Cari si peniaga dengan segera. Bagi amaran atau ambil tindakan lanjut kepada mereka. Bukan mahu menghalang peniaga energy stick mencari rezeki sebaliknya kita mahu elak banyak risiko negatif jika jualan ini diteruskan.

Untuk makluman, pengambilan energy stick boleh menyebabkan pelbagai risiko kesihatan antaranya luka atau pendarahan dalam rongga hidung dan saluran pernafasan, merosakkan mukus dalam rongga hidung, alahan dan keracunan akibat gagal mengenal pasti bahan yang digunakan serta mudah tercemar dan boleh menyebabkan jangkitan.

Menguatkan lagi risiko buruk mengambil energy stick, Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang berkata, produk itu sememangnya berbahaya untuk pelajar sekolah namun ia tetap giat dipromosikan oleh peniaga menerusi platform e-dagang.

Amrahi menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengambil tindakan pantas terhadap para penjual.

Jika tidak cegah, ia pastinya akan mengakibatkan pengguna menjadi ketagih sehingga merisikokan kesihatan.

Dalam keresahan memikirkan nasib anak muda jika mengambil energy stick, penulis mula tertanya-tanya, apakah masyarakat boleh lakukan jika terserempak dengan pelajar menggunakan energy stick di tempat awam.

Adakah ada saluran tertentu yang boleh orang ramai buat aduan untuk menangani masalah ini.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who, masyarakat boleh menyalurkan aduan mengenai penggunaan energy stick di laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, aduan itu penting bagi memastikan kementerian dapat mengambil langkah sewajarnya berhubung perkara tersebut sebelum keadaan menjadi lebih mudarat.

Bagaimanapun, KPM masih belum menerima sebarang aduan tentang perkara ini. Jika ada, mereka akan ambil tindakan tegas bagi memastikan kesihatan dan kebajikan pelajar terjamin.

Orang ramai khususnya pentadbiran setiap sekolah harus pantau dan jika berlaku sebarang kes, laporkan terus kepada KPM.

Pesan penulis, jauhilah energy stick dan jangan sesekali pasang niat untuk mencuba biarpun sekadar ‘main-main’.

Sekali mendekati alat ini, selama-lamanya anda akan ketagih sekali gus membahayakan diri sendiri.

* Roshlawaty Raieh ialah wartawan Sinar Bestari