Lonjakan penambahan guru bukti komitmen kerajaan

18,792 orang guru baharu telah dilantik tahun lalu merangkumi 9,155 guru sekolah rendah dan 9,637 guru sekolah menengah. Foto hiasan
18,792 orang guru baharu telah dilantik tahun lalu merangkumi 9,155 guru sekolah rendah dan 9,637 guru sekolah menengah. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Lonjakan penambahan bilangan guru merupakan komitmen besar Kerajaan Madani dalam memperkukuh agenda reformasi pendidikan dan memartabatkan kualiti pendidikan negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 18,792 orang guru baharu telah dilantik tahun lalu merangkumi 9,155 guru sekolah rendah dan 9,637 guru sekolah menengah.

"Pengambilan seramai 6315 orang graduan bukan pendidikan sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) Gred DG41 secara kontrak seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada minggu lalu adalah cerminan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan unjuran keperluan dan penempatan guru di sekolah dipenuhi," kata kementerian itu pada Rabu.

Ujar KPM, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan SPP untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

"Sinergi kerjasama strategik kedua-dua pihak cukup signifikan dalam memastikan unjuran guru memenuhi keperluan semasa," ujar KPM.

Sebelum ini Menteri KPM Fadhlina Sidek berkata pihaknya dan SPP sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan isu kekurangan guru diselesaikan.

Ia termasuklah isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Artikel Berkaitan: