DAPSY Perak pertahan iktiraf kampung baru Cina

Steven
Steven
A
A
A

IPOH - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berfikiran lebih profesional dan menjunjung semangat perpaduan dalam isu pengiktirafan kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Setiausaha DAPSY Perak, Steven Tiw berkata, pemimpin muda UMNO itu tidak seharusnya merumitkan isu tersebut dengan menunjukkan keangkuhan melalui media sosial.

Katanya, jika terdapat sebarang kegusaran mengenai hal ehwal kampung baru Cina, ia harus diperjelas menerusi perbincangan lebih mendalam secara bersemuka.

"Saya ingin mengajak Muhamad Akmal memainkan peranan dengan mempromosikan perpaduan rakyat Malaysia yang bersatu padu tanpa permainan sentimen kaum, agama dan bangsa.

"Kerugian besar kepada tanah air kita, Malaysia sekiranya pimpinan politik terus merosakkan perpaduan antara rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut yakin bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sedia untuk mengadakan perjumpaan mesra jika Muhamad Akmal mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai cadangan kampung baru Cina sebagai tapak UNESCO itu.

Steven yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh berkata, kampung baru Cina di negara ini sememangnya mempunyai ciri-ciri yang bersejarah yang wajar diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO.

"Sekiranya sesebuah kampung baru Cina mendapat pengiktirafan UNESCO, maka ia mempunyai lebih banyak dana daripada UNESCO untuk membangunkan tapak tersebut sebagai salah satu produk pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin bahawa pengiktirafan kampung baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO tidak akan menggadaikan apa-apa hak rakyat Malaysia," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan Malaysia akan menjadi lebih maju dan berdaya saing di persada dunia sekiranya perpaduan rakyat menjadi pegangan utama kepada semua pimpinan negara.

Kor Ming sebelum ini mencadangkan untuk mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Naib Pengerusi DAP itu memaklumkan, kerajaan Pusat dan kerajaan Selangor akan membincangkan perkara tersebut dengan lebih teliti membabitkan kampung yang diteroka sejak tahun 1948 itu.

Cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Teluk Intan itu bagaimanapun mengundang kritikan pelbagai pihak terutama UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Media melaporkan UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan itu kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.