Kampung Baru Cina calon Tapak Warisan UNESCO: Bercanggah kepentingan nasional

Ahmad Murad - FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Murad - FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bercanggah dengan inisiatif perpaduan nasional yang sepatutnya menjadi pertimbangan asas sebelum sebarang keputusan dibuat.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual ISTAC-UIAM, Datuk Dr Ahmad Murad berkata, perkembangan berkenaan juga dibimbangi menjadi usaha untuk memperibumikan naratif bukan bumiputera di negara ini.

Menurutnya, sekiranya berjaya diiktiraf, ia kemungkinan akan menjadi sebahagian naratif yang mengubah sejarah Malaysia pada masa akan datang.

"Kalau dapat pengiktirafan, ini akan jadi fakta pada masa depan tentang sejarah Malaysia...kita tahu sejarah Malaysia pun ada polemik yang masih lagi belum diselesaikan.

"Kita perlu fikir, ada 400 Kampung Cina di Malaysia. Apabila diberi pengiktirafan, saya fikir ia akan jadi republik kecil yang akan membentuk jurang lebih luas terhadap perpaduan nasional.

"Ini beri implikasi yang besar," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi 432 bertajuk 'Kampung baru: Kontroversi atau pengiktirafan UNESCO?' pada Selasa.

Program yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Sahul HM dan Ismail Adnan sebagai hos.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, cadangan tersebut menimbulkan kontroversi apabila dibantah ramai pihak termasuk pemimpin UMNO yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, terdapat banyak lagi tempat di negara ini yang berpotensi dicalonkan dan pemimpin Melayu juga bertanggungjawab meletakkan warisan Melayu pada tempatkan.

Bagaimanapun ujarnya, usaha berkenaan didakwa tidak bersifat menyeluruh dan membelakangkan kepentingan nasional.

"Pada asalnya (Kor Ming) tidak menyebut kawasan lain...bila dapat reaksi (bantahan) baru dikatakan ia tak menolak pencalonan kampung-kampung Melayu.

"Jika (pencalonan) ini difikirkan dengan wajar, membabitkan kepentingan nasional, maka pengumuman perlu inklusif daripada idea, konsep dan perlaksanaan," katanya.

Justeru tegas beliau, kerajaan perlu memastikan terdapat usaha untuk menyemak semula fungsi-fungsi institusi warisan dalam memastikan polemik tersebut tidak berterusan.

"Ukurannya adalah kepentingan nasional. Mungkin juga perlu penggubalan undang-undang," katanya.