Rugi RM30,000 sarang kelulut dirosakkan beruang matahari

Sarang kelulut yang musnah akibat serangan beruang.
Sarang kelulut yang musnah akibat serangan beruang.
A
A
A

SETIU - Peserta Projek Ternakan Kelulut Komuniti Nelayan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kampung Pengkalan Gelap, Permaisuri di sini terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 selepas 22 sarang kelulut dimusnahkan beruang matahari, pada Selasa.

Ketua Projek, Profesor Dr Shamsul Bahri Abdul Razak berkata, serangan daripada seekor beruang itu dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi berdasarkan kesan tapak kaki.

"Kejadian tersebut disedari oleh salah seorang peserta projek kira-kira jam 8 pagi tadi ketika ingin membersihkan kawasan ternakan kelulut itu.

"Ini merupakan kejadian kali ketiga sejak projek ini dimulakan dua tahun lalu. Namun jumlah kerugian kali ini adalah paling besar iaitu sebanyak RM30,000," katanya ketika dihubungi pemberita, di sini pada Selasa.

Salah seorang Peserta Projek Ternakan Kelulut Komuniti Nelayan UMT sedang membaik pulih sarang kelulut.
Salah seorang Peserta Projek Ternakan Kelulut Komuniti Nelayan UMT sedang membaik pulih sarang kelulut.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT (SIG) memberitahu, kejadian tersebut tidak mematahkan semangat peserta bagi meneruskan projek memandangkan hasilnya yang diperoleh agak lumayan.

Menurutnya, projek yang melibatkan 10 peserta daripada golongan nelayan itu telah berjaya memberi pulangan kira-kira RM1,500 sebulan.

"Terdapat 200 koloni sarang kelulut di plot ternakan Kampung Pengkalan Gelap.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini merupakan hasil kerjasama UMT, Pharmaniaga Sdn Bhd dan Yayasan Inovasi Malaysia," jelasnya.

Beliau menambah selain projek ternakan di Kampung Pengkalan Gelap, UMT turut melaksanakan tiga projek sama di Parit Sulong, Johor; Kampung Gemuruh, Terengganu dan Kota Tinggi, Johor.

Dalam pada itu, Shamsul Bahri berkata pihaknya juga sudah membuat laporan terhadap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu bagi tindakan selanjutnya bagi menangani masalah berkenaan.