Suspek curi kabel nekad lari masuk hutan

Kenderaan Toyota Hilux dinaiki dua suspek terbalik di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan Kampung Batu Bor, pada Selasa.
Kenderaan Toyota Hilux dinaiki dua suspek terbalik di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan Kampung Batu Bor, pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Dua suspek lelaki kes curi kabel nekad melarikan diri ke dalam hutan selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki terbabas di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan Kampung Batu Bor, di sini awal pagi pada Selasa.

Kejadian berlaku selepas suspek dikejar polis kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel berhampiran sebuah stesen minyak di Kilometer 4, Jalan Maran-Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, sebuah lagi kenderaan jenis sama dipandu seorang lagi suspek turut lolos apabila gagal diekori.

Menurutnya, salah seorang suspek telah dikenal pasti manakala dua lagi masih dalam siasatan.

"Kejadian kecurian kabel didalangi tiga suspek itu dikesan orang awam sebelum dilaporkan kepada pihak polis kira-kira jam 3.53 pagi.

"Bertindak atas maklumat, anggota unit kereta peronda (MPV) segera ke lokasi sebelum terserempak dengan dua kenderaan berwarna putih dan kelabu, disyaki digunakan suspek berada di persimpangan Kampung Paya Jauh," katanya.

Mazlan berkata, menyedari kehadiran polis, suspek yang menaiki dua kenderaan tersebut terus memecut melarikan diri mengelak pemeriksaan.

Sebahagian kabel yang siap dipotong dan dicuri suspek.
Sebahagian kabel yang siap dipotong dan dicuri suspek.



Artikel Berkaitan:

"Pihak polis bertindak mengejar kenderaan suspek hingga memasuki kawasan kebun kelapa sawit berdekatan Kampung Batu Bor.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, salah sebuah kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pagar dawai kebun lalu terbalik.

"Bagaimanapun dua suspek sempat melarikan diri ke dalam hutan berhampiran manakala sebuah lagi kenderaan gagal diekori," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 43 kabel bersaiz besar, 43 kabel kecil berukuran satu meter panjang setiap batang yang bertaburan jatuh di tanah.

"Beberapa peralatan seperti pemotong kabel dan telefon bimbit yang ditemui di dalam kenderaan itu turut dirampas.

"Anggaran kerugian dalam kes kecurian kabel itu mencecah RM10,000," jelasnya.

Tambah Mazlan, siasatan di tempat kejadian kecurian menemui sebatang kabel yang telah ditarik sepanjang kira-kira 100 meter.

"Jarak tempat kejadian curi kabel dan lokasi kenderaan suspek terbabas kira-kira 15 kilometer.

"Hasil pemeriksaan, tiada kesan cap jari dijumpai di dalam kenderaan yang terbabas kerana keadaannya yang kotor serta berminyak," jelasnya.

Ujar beliau lagi, Unit Anjing Pengesan (K9) panggil untuk membantu mengesan suspek yang melarikan diri.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan semua suspek terlibat sedang digerakkan," katanya.