Jangan terpedaya pakej umrah bawah harga lantai

Azmi (lima dari kiri) bersama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Pengusaha Agensi Umrah dan Haji Sabah di Kota Kinabalu.
Azmi (lima dari kiri) bersama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Pengusaha Agensi Umrah dan Haji Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bakal jemaah yang ingin mengerjakan umrah dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej di bawah harga lantai.

Pengerusi Pengusaha Agensi Umrah dan Haji Sabah, Nor Azmi Abi Shafian berkata, harga lantai bagi pakej umrah sudah ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) iaitu RM6,900 seorang.

"Selain kenal pasti syarikat tersebut memiliki lesen dan berdaftar dengan MOTAC, jemaah juga perlu berhati-hati dengan harga pakej ditawarkan terutama yang murah dan tidak masuk akal.

"Harga telur dan barang pun naik, ringgit pula jatuh, bagaimana dapat mengerjakan umrah dengan harga tidak masuk akal. Untuk pakej umrah, harga lantai telah ditetapkan dan yang kami tahu MOTAC kekalkan RM6,900 seorang.

"Biasanya harga tiket penerbangan RM3,500 jadi kita kena fikir untuk pengurusannya lagi seperti hotel dan pengangkutan di sana. Kalau harga pakej itu di bawah RM6,900, kita kena fikir," katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri mesyuarat agung dwi tahunan persatuan itu di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu penipuan membabitkan pakej umrah yang dilihat sering berlaku ketika ini.

Mengulas lanjut, beliau juga meminta bakal jemaah di negeri ini supaya membuat semakan di laman sesawang atau laman sosial syarikat yang menawarkan pakej-pakej umrah.

"Orang ramai yang ingin mengerjakan umrah harus membuat semakan bahawa syarikat itu sudah pernah membawa jemaah atau tidak melalui laman sosial syarikat tersebut termasuk Facebook, Instagram dan laman sesawangnya.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini di bawah keahlian persatuan kami belum ada kes melibatkan penipuan kerana lesen kami tertakluk kepada undang-undang yang mana MOTAC pun mengeluarkan garis panduan dan syarikat yang mempunyai lesen umrah pun sebenarnya berurusan sehingga ke Arab Saudi," tegasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan semasa, Azmi berkata, persatuan tersebut bercadang menjadikan Sabah sebagai hab umrah untuk jemaah dari negara serantau.

"Kami mencadangkan kepada kerajaan negeri agar Sabah menjadi hab umrah bagi negara serantau seperti China, Korea Selatan, Filipina, Indonesia dan Brunei," katanya.