Lebih ramai jemaah pilih umrah secara DIY

Kini lebih ramai jemaah yang memilih dan lebih selesa mengerjakan umrah secara sendiri atau DIY. Foto hiasan
Kini lebih ramai jemaah yang memilih dan lebih selesa mengerjakan umrah secara sendiri atau DIY. Foto hiasan
A
A
A

SEMUA umat Islam pasti mengimpikan untuk menunaikan umrah kerana ia adalah antara ibadah yang dituntut dalam agama terutamanya bagi golongan berkemampuan.

Sebelum pergi menunaikan umrah di Tanah Suci, setiap pergerakan perlu dirancang terlebih dahulu dan segala persiapan mesti dititikberatkan walaupun sekecil-kecil perkara.

Pada zaman sekarang, pelbagai kemudahan disediakan untuk bakal jemaah dan banyak agensi pelancongan dan syarikat pengendali umrah menawarkan pakej yang berpatutan. Hanya perlu memilih pakej bersesuaian mengikut keselesaan dan kemampuan diri.

Bagaimanapun, kini lebih ramai jemaah yang memilih dan lebih selesa mengerjakan umrah secara sendiri atau DIY dan ia kini semakin menjadi trend.

Ikuti pandangan orang ramai mengenai pilihan menunaikan umrah, sama ada menggunakan khidmat agensi pelancongan dan syarikat pengendali umrah atau secara DIY.

POSITIF

DIY tidak terikat dengan jadual

MELAKSANAKAN umrah secara DIY jauh lebih murah berbanding menggunakan agensi pelancongan atau syarikat pengendali umrah kerana tiada kos tersembunyi.

Artikel Berkaitan:

Harga pakej umrah yang tidak diperjelaskan secara terperinci menyukarkan individu untuk menunaikan ibadah ini.

Kadangkala terdapat penambahan bayaran yang perlu dijelaskan seminggu atau dua minggu sebelum pergi umrah.

Jika pergi umrah secara DIY, kita dapat membuat pengiraan mengikut bajet sendiri untuk penginapan, pengangkutan, makan dan minum selain dapat memilih tempat yang mahu dikunjungi.

Rosnini
Rosnini

Bakal jemaah juga tidak akan terikat dengan mana-mana pihak terutamanya daripada segi pengurusan masa ketika berada di Tanah Suci.

Kita inginkan keselesaan dan bergerak sendiri lebih fleksibel sebenarnya. Jika pergi umrah melalui agensi, kita perlu mengikut jadual dan masa yang ditetapkan.

Justeru, kesimpulannya saya lebih suka pergi secara DIY berbanding membeli pakej tertentu, namun terpulang kepada pilihan masing-masing.

Apa yang penting, kita dapat menunaikan umrah dan beribadat dengan tenang.

- Kakitangan awam, Rosnini Yahya, 46,

TIDAK terikat dengan jadual merupakan faktor utama bakal jemaah memilih untuk mengerjakan umrah sendiri (DIY) berbanding menggunakan khidmat agensi pelancongan.

Semua orang mahukan keselesaan dengan menyusun semua aktiviti mengikut keselesaan dan masa sendiri.

Jika mengikuti rombongan, kita terpaksa patuh dengan jadual yang disediakan oleh mutawwif atau pegawai bertanggungjawab.

Selain itu, umrah secara DIY lebih mudah kerana boleh memilih tempat penginapan dan merancang perjalanan mengikut bajet serta kehendak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, DIY sesuai untuk mereka yang pernah mengerjakan umrah.

Muhammad Azlan
Muhammad Azlan

Sebaiknya kita membeli pakej dahulu dan cari pengalaman. Pergi tanpa ilmu dikhuatiri akan mendedahkan diri kepada risiko ketika berada di negara orang.

Apabila sudah biasa dengan selok-belok negara itu, mudah untuk kita melakukan umrah secara DIY.

Saya sendiri ada perancangan untuk menunaikan umrah secara DIY.

- Kakitangan swasta, Muhammad Azlan Mohd Ariff@Aris, 34

NEGATIF

Ikut pakej lebih teratur, selamat

BAGI jemaah baharu pertama kali menunaikan umrah, sudah pasti banyak perkara tidak diketahui mereka termasuk persiapan yang perlu dilakukan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Justeru, saya fikir membeli pakej adalah jalan selamat untuk mereka mengerjakan ibadah itu. Semua urusan perjalanan dan aktiviti akan disediakan oleh mutawwif atau pegawai agensi pelancongan.Para mutawwif juga akan membimbing jemaah dan memaklumkan persediaan yang perlu dilakukan.

Apa yang menarik, menunaikan umrah menggunakan pakej sangat menyeronokkan. Setiap kali melawat tempat-tempat bersejarah, mutawwif akan berkongsi cerita dengan jemaah.

Bagaimanapun, tidak salah sekiranya individu itu memilih untuk menunaikan umrah secara sendiri atau DIY tetapi ia tidak sesuai untuk mereka yang baru pertama kali.

Noraishah
Noraishah

Jika pernah pergi, tiada masalah kerana mereka sudah sedia maklum prosedur yang perlu dilalui sebelum, semasa dan selepas menunaikan umrah.

Pakej adalah pilihan tepat bagi mereka yang mahu proses menunaikan umrah berjalan lancar dan teratur.

- Kakitangan swasta, Noraishah Sulaiman, 32

BERDASARKAN pengalaman saya, menunaikan umrah menggunakan syarikat pengendali umrah atau agensi pelancongan lebih selamat berbanding secara DIY.

Kita pergi dengan rombongan dan turut ada bersama ialah mutawwif atau pegawai yang sudah berpengalaman, sudah pasti semua perkara akan menjadi lebih mudah.

Mereka kerap ke Tanah Suci dan mengetahui semua perkara termasuk penginapan, tempat dan makan minum. Kita hanya perlu mengikut jadual yang disediakan.

Bukan mudah untuk menguruskan umrah sendirian sekiranya tidak tahu prosedur negara lain kerana banyak perkara atau undang-undang yang perlu dipatuhi.

Jemaah mungkin terdedah dengan pelbagai risiko terutama isu membabitkan kematian, masalah kesihatan dan kes hilang di Tanah Suci.

Sharif
Sharif

Kelebihan menggunakan agensi berdaftar membolehkan pergerakan jemaah lebih terkawal dengan pemantauan dibuat secara berkala.

Jika berlaku perkara tidak diingini, kita tahu kepada siapa perlu membuat laporan. Jika pergi sendiri, mesti terkapai-kapai.

Bagaimanapun, bakal jemaah perlu menyemak sekurang-kurangnya dua atau tiga agensi umrah untuk mudah membuat perbandingan dan keputusan.

- Pelajar, Sharif Mohd Aqiyuddin, 24