Kisah dua masjid hebat di Kedah

Masjid Al Busyra Merbok yang diketuai Imam Masjid Ustaz Firdaus Firabib.
Masjid Al Busyra Merbok yang diketuai Imam Masjid Ustaz Firdaus Firabib.
A
A
A

BEBERAPA hari lalu Merak Jalanan berpeluang melawat dua buah masjid paling hebat di Malaysia, kedua-duanya terletak di Kedah.

Masjid pertama ialah Masjid Al Busyra Merbok yang diketuai Imam Masjid Ustaz Firdaus Firabib.

Hebatnya masjid ini sehingga jadi tempat tumpuan ramai yang merupakan pusat sehenti bagi menjana ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat Islam di sana.

Ia dilengkapi dewan serba guna, kedai cetak, medan selera, tempat cuci kereta, rumah inap desa siap dengan kemudahan internet dan kolam renang, kedai runcit serta studio gambar.

Tidak cukup dengan itu, masjid itu turut menempatkan kedai gunting rambut untuk lelaki, spa dan salon untuk muslimah, dobi serta kedai aksesori telefon.

Sebuah lagi masjid yang juga hebat ialah di Murtdha Dakwah Centre (MADAD) yang bukan sahaja menampilkan konsep moden, malah mempunyai fasiliti lengkap dan sesuai untuk setiap peringkat umur.

Masjid ini sangat mesra kanak-kanak dan dilengkapi taman mainan dua tingkat yang tertutup dan tidak mengganggu jemaah beribadat.

Ia turut menyediakan hotel kapsul dan juga rumah kucing terbesar di Malaysia. Amat luar biasa!

Artikel Berkaitan:

Bagi Merak Jalanan, inilah ciri-ciri pengurusan masjid yang hebat dan perlu dijadikan contoh kepada semua masjid di negara ini.

Cuma malangnya, Merak Jalanan terbaca keluhan di Facebook oleh pengguna Motorhome apabila dihalau oleh pihak masjid yang tidak membenarkan mereka menggunakan kawasan fasiliti ibadat tersebut.

Motorhome merupakan kenderaan yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tempat tidur, dapur dan tandas.

Bagi Merak Jalanan, tidak sepatutnya perkara seperti itu berlaku. Masjid perlu diimarahkan pada setiap masa.

Janganlah pula ditutup rumah ALLAH kerana pintu rahmat Tuhan itu tidak pernah tertutup walau sedetik pun.