Sangka dipatuk ular, rupanya dibaham harimau

Kakitangan Perhilitan melakukan pemeriksaan pada bangkai lembu yang diserang harimau belang di Kampung Pahit Dalam, Gerik. Foto ihsan pembaca
Kakitangan Perhilitan melakukan pemeriksaan pada bangkai lembu yang diserang harimau belang di Kampung Pahit Dalam, Gerik. Foto ihsan pembaca
A
A
A

GERIK - Seorang penternak kerugian lebih RM5,000 selepas dua lembu peliharaannya mati akibat diserang binatang buas dalam kejadian di Bukit Belia, Kampung Pahit Dalam dekat sini pada Isnin.

Mohd Shahrul Azhar Mat Zali, 39, berkata, pada awal dia menyangka lembunya mati akibat dipatuk ular setibanya di ladang sekitar jam 10 pagi.

"Sebelum ini ada yang mati dipatuk ular berikutan kesan pada kaki tetapi kali ini saya pelik ada kesan gigit pada leher dan ia melibatkan dua ekor dalam tempoh satu malam.

"Saya meronda kawasan itu dan jumpa kesan tapak kaki yang saya percaya harimau. Kemudian saya terus hubungi Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan buat laporan polis," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurut Mohd Shahrul Azhar, dengan penemuan kesan tapak kaki itu menyebabkan dia berasa gusar untuk melepaskan haiwan ternakannya.

Dua lembu milik Mohd Shahrul Azhar mati akibat diserang harimau belang di Kampung Pahit Dalam, Gerik. Foto ihsan pembaca
Dua lembu milik Mohd Shahrul Azhar mati akibat diserang harimau belang di Kampung Pahit Dalam, Gerik. Foto ihsan pembaca

"Inilah pertama kali lembu mati akibat serangan binatang buas ini sejak mengusahakan ternakan lima tahun lalu dan lot ini merupakan kawasan untuk lembu meragut.

"Saya syak seekor lembu diserang pada waktu malam dan seekor lagi waktu pagi. Disebabkan kawasan ini tidak lagi selamat, saya akan cuba pindahkan baki 26 ekor lagi ke kandang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia mengharapkan tindakan segera dapat diambil berikutan kawasan berkenaan turut menempatkan kebun getah dan pisang milik penduduk.

"Kalau boleh Perhilitan dapat bantu buat tangkapan kerana saya tiada tempat lain untuk bela lembu berikutan kos makan, dedak yang tinggi.

"Buat masa ini, penduduk kampung pun tidak beranilah hendak masuk kawasan kebun getah dan pisang milik mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan berlaku serangan harimau belang terhadap ternakan penduduk terlibat.

"Hasil siasatan yang dijalankan mengesahkan lembu berkenaan mati akibat serangan harimau belang.

"Kita nasihatkan penternak untuk memasukkan haiwan mereka ke kandang pada waktu malam dan rondaan serta pemantauan ketat akan dijalankan kakitangan Perhilitan di kawasan itu," katanya.