29,000kg ubi keladi lebih RM60,000 dari China dirampas

Maqis Selangor merampas ubi keladi dari China di Pelabuhan Klang Utara semalam.
Maqis Selangor merampas ubi keladi dari China di Pelabuhan Klang Utara semalam.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas ubi keladi tanpa permit seberat 29,000 kilogram bernilai RM63,082.65 yang dibawa masuk dari China.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal bin Alimin berkata, semua keladi dirampas di pintu masuk Pelabuhan Klang Utara tidak mematuhi syarat import iaitu pelabelan yang tidak mengikut standard yang telah ditetapkan.

Menurutnya, semua ubi keladi itu tidak mempunyai permit import yang sah daripada Maqis serta sijil fitosanitasi dari negara asal.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Tarmisal berkata, Maqis bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan undang-undang di pintu masuk yang diwartakan bagi menjaga keselamatan pertanian negara dan memastikan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara adalah selamat dan bebas perosak serta penyakit berbahaya.

Tambahnya, konsainan yang disita dan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit dapat dicegah.

Artikel Berkaitan: