Op Selamat 21: 14 kemalangan maut hari keempat

Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan terutama penunggang motosikal. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Azman
Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan terutama penunggang motosikal. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,203 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara pada Ahad iaitu hari keempat Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes kemalangan maut dilaporkan.

"Sebanyak 1,480 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya dilaporkan dan Jalan Persekutuan mencatat kes kemalangan maut tertinggi iaitu sebanyak lima kes.

"Jalan negeri pula mencatatkan empat kes, lebuh raya dua kes, jalan bandaran sebanyak satu kes dan lain-lain jalan sebanyak dua kes," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Azman berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan terutama penunggang motosikal.

"Semua pengguna jalan raya wajib bekerjasama sama ada sebagai pejalan kaki, penunggang basikal atau pengguna kenderaan bermotor dalam usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama bagi kes kemalangan maut," katanya.

Op Selamat 21 dilaksanakan di seluruh negara bermula Khamis lalu hingga 13 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Op Selamat bagi edisi kali ini masih mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi', dengan mengangkat dua objektif utama iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

Artikel Berkaitan:

JSPT juga turut dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM dalam menjalankan pemantauan udara di tiga zon utama iaitu zon Utara, Selatan dan Timur.

Selain itu, bagi mencegah jenayah pecah rumah pula, seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen akan digerakkan untuk rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan perumahan serta premis perniagaan terutamanya yang memaklumkan ketiadaan mereka kepada pihak polis.