Raih pendapatan RM10,000 sebulan jadi pelukis mural

Siti Sarah bergambar bersama hasil mural di Sekolah Kebangsaan Ijok.
Siti Sarah bergambar bersama hasil mural di Sekolah Kebangsaan Ijok.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pandemik Covid-19 memberi lambaran baharu kepada seorang wanita untuk pulang ke kampung halamannya di Sungai Nibong di sini, bagi menceburi lukisan mural.

Berbekalkan minat mendalam dalam lukisan itu, Siti Sarah Maswan, 27, memberanikan diri berhenti kerja seterusnya menjadi pelukis mural sepenuh masa.

Siti Sarah sebelum ini menimba pengalaman sebagai pekerja seni kraf batik di Kelantan selama setahun sebelum berpindah tempat kerja sebagai pembantu pereka di Shah Alam selama tiga bulan.

"Akhirnya, saya nekad untuk cari rezeki di tempat kelahiran kerana bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, saya terus membuka bengkel batik di Sungai Nibong," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Anak keempat daripada lima beradik itu tidak menoleh ke belakang dan mula membuat secara sambilan lukisan mural.

Bertitik tolak daripada itu, hasil seni lukisan Siti Sarah, mula menarik tumpuan pelanggan sekitar Sungai Besar, Kuala Selangor, Shah Alam hingga ke Kedah.

"Bermula dari situ, rezeki saya kian bertambah dan lukisan mendapat perhatian serta tidak putus menerima tempahan," jelasnya lagi.

Pemegang diploma seni kraf batik, Institut Kraf Negara memberitahu, lukisan mural kian mendapat sambutan dan tidak lagi terhad di premis perniagaan semata-mata, sebaliknya semakin ramai yang menjadikannya sebagai pelengkap hiasan di sekolah, inap desa, kenderaan pelancong, kafe dan ruang rumah.

Artikel Berkaitan:

Siti Sarah melukis mural di sebuah van
di Laman Mulberry Sungai Besar.
Siti Sarah melukis mural di sebuah van di Laman Mulberry Sungai Besar.

Mengakui kerjaya pilihannya itu bukanlah mudah, Siti Sarah tekad untuk meneruskannya biarpun menempuh dugaan.

"Setiap perniagaan ada pasang surut dan saya kena pelajari perkara baru dan bagaimana ingin menarik minat pelanggan.

"Ada kalanya saya hanya diberikan masa dua hari sahaja untuk siapkan tempahan, tentulah ada kekangan dari segi masa, tetapi kita tidak bolehlah jadikannya sebagai alasan, sebaliknya fokus untuk menyiapkan seperti dijanjikan," katanya lagi.

Jelas Siti Sarah, hasil seni kraf itu memberi impak berbeza menerusi motif dan tema yang ingin diketengahkan pelanggan.

"Tema lukisan berbeza di setiap premis yang saya hasilkan, jika inap desa kebanyakannya memilih lukisan pemandangan sawah dan rumah kampung.

"Jika di sekolah pula, lukisan semangat patriotik atau memberi inspirasi kita hasilkan selain jika kafe mungkin tema keceriaan dan hidangan menyelerakan kita tampilkan," ujarnya.

Sehingga kini, Siti Sarah telah menghasilkan lebih 500 lukisan mural sejak menceburi bidang itu secara serius pada tahun 2021.

Lukisan dinding di Sekolah Kebangsaan Batu 9, Jalan Bomba Tanjong Karang.
Lukisan dinding di Sekolah Kebangsaan Batu 9, Jalan Bomba Tanjong Karang.

Bagi mengekalkan hasil lukisan berkualiti Siti Sarah sentiasa melakukan pelbagai percubaan dengan melihat hasil lukisan daripada pelukis jalanan dan mengikuti pameran seni lukisan.

Berpegang kepada semangat tidak mudah mengalah, Siti Sarah boleh tersenyum apabila hasil air tangannya itu kini menghiasi dinding di kebanyakan tempat

Mengulas dari segi pendapatan, Siti Sarah mengakui tidaklah mengenakan bayaran tinggi, sebaliknya pada kadar munasabah.

Katanya, purata pendapatan bulanan sebulan mampu mencecah sehingga RM10,000 sebulan sekali gus melebihi pendapatannya sebelum ini.

"Harga lukisan mural bergantung kepada saiz atau keluasan dinding, jika permukaannya tidak rata, mungkin harganya lebih tinggi berbanding permukaan licin," ujarnya.

Bagi Siti Sarah, dia sebenarnya lebih seronok mengembangkan seni kreatif dimiliki untuk dikongsi dengan masyarakat.

"Sebenarnya saya tidaklah bermotif untuk mencari duit lebih, sebaliknya saya inginkan kepuasan.

"Saya ingin mencurahkan dan mengembangkan bakat menerusi hasil karya mural dan berharap titik peluh saya ini memberi manfaat kepada orang lain," tambahnya.