Perlu RM10 juta bina masjid baharu

Wakil Bunian Bikerz, Rosli Omar (dua dari kanan) menyampaikan wakaf al-Quran dari Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) kepada pegurusan masjid. Turut hadir Pengarang Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi (kanan).
Wakil Bunian Bikerz, Rosli Omar (dua dari kanan) menyampaikan wakaf al-Quran dari Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) kepada pegurusan masjid. Turut hadir Pengarang Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi (kanan).
A
A
A

SUNGAI BULOH - Jawatankuasa Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM10 juta untuk membina sebuah masjid baharu di sebuah kawasan yang telah diwakafkan.

Ini kerana masjid yang pertama dan tertua di Sungai Buloh itu tidak pernah dinaiktaraf secara keseluruhannya, malah banyak fasiliti dan infrastruktur mulai rosak serta ruangannya juga semakin terhad untuk menampung pertambahan kariah.

Nik Amirul (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Pekri (kiri) pada Sabtu.
Nik Amirul (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Pekri (kiri) pada Sabtu.

Pengerusi Pembinaan Masjid Jamek Baharu Pekan Sungai Buloh, Mohd Pekri Abdul Hamid berkata, setakat ini mereka berjaya mengumpulkan dana kira-kira RM1.4 juta sejak lebih kurang empat tahun lalu.

Katanya, sebanyak RM3 juta diperlukan untuk proses merancang termasuk penyediaan pelan, tolak tanah dan kerja-kerja awal dengan anggaran kos untuk menyiapkan bangunan masjid baharu dengan pelbagai kemudahan fasiliti dan infrastruktur sebanyak RM9 juta.

"Masjid ini dibina sekitar tahun 1960-an dan digunakan penduduk untuk berkumpul termasuk mengadakan majlis kenduri, tahlil, bertilawah dan pastinya menunaikan solat berjemaah.

"Dengan jumlah jemaah solat Jumaat yang semakin meningkat dan ruangan solat yang terhad. Jemaah terpaksa solat di atas jalan tar. Inilah sebab utama kenapa masjid baru wajib dibina dengan segera," katanya kepada Sinar Harian. 

Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh masih mempunyai struktur binaan bangunan lama dengan setiap penjuru masjid menggunakan susunan papan sebagai bahan binaan utama.

Artikel Berkaitan:

"Jika dinaik taraf akan menelan belanja yang lebih besar. Malah, penduduk terpaksa memilih masjid dari kariah berdekatan untuk menunaikan solat berjemaah yang jaraknya kira-kira 2.3 kilometer dari masjid," katanya.

Beliau sebelum itu menerima sumbangan daripada kumpulan motosikal berkuasa besar, Bunian Bikerz bagi tabung pembinaan Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh baharu.

Masjid tersebut turut menerima wakaf al-Quran dari Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) yang disampaikan oleh Pengarang Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi.

Mohd Pekri berkata, pihak pengurusan masjid sudah membuat permohonan bantuan daripada pihak kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan proses pembinaan masjid baharu.

Namun, beliau turut memberi peluang kepada masyarakat untuk berwakaf bagi mengumpul dana wakaf sebanyak RM10 juta bagi membina masjid baharu (RM8.5 juta) itu dan sebuah Maahad Tahfiz (RM1.5 juta) bersebelahan masjid tersebut.

"Tapak pembinaan masjid baharu telah mendapat kelulusan Pejabat Daerah Petaling dan pihak Jabatan Agama Islam Selangor juga telah memberikan kebenaran untuk membina sebuah masjid.

"Kami juga telah mendapatkan kelulusan daripada Wakaf Selangor untuk mengutip derma selain melantik perancang bandar dan arkitek untuk menyediakan pelan pembangunan," katanya.

Tambahnya, pelan tersebut juga telah dihantar kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan setakat ini pihak MBSA telah memberikan keputusan dasar dan proses seterusnya adalah menyerahkan permohonan merancang.

"Masjid yang bakal dibina ini juga bukan sahaja untuk memberi keselesaan kepada penduduk hari ini, namun menjadi peninggalan untuk generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, pengasas Bunian Bikerz, Mohd Hasnurul Nizam Ibrahim berkata, program seumpama ini perlu digerakkan tanpa menunggu selebriti kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri menarik jemaah ke masjid.

Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh (beratap biru) adalah masjid tertua di negeri Selangor. Gambar kecil: Gambaran ilustrasi masjid baharu yang dirancang
Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh (beratap biru) adalah masjid tertua di negeri Selangor. Gambar kecil: Gambaran ilustrasi masjid baharu yang dirancang

"Inisiatif ini amat baik dan sebagai kelab motosikal kami menyokong penuh usaha ini selain dengan niat mahu mengajak orang ramai mengimarah masjid dengan solat berjemaah," katanya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Shah berkata, aktiviti kemasyarakatan itu adalah kali ketiga dianjurkan kelab dan berharap lebih banyak lagi program diadakan pada masa depan.

"Sebelum ini, kita pernah menganjurkan program motivasi kepada pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di SMK Mambau, Seremban dan program raya bersama anak yatim di Perak," tambahnya.

Ahli Bunian Bikerz dan pengurusan masjid bergambar di hadapan Masjid Jamek Baharu Pekan Sungai Buloh selepas program Ride Iktikaf Subuh Berjemaah dan menyampaikan sumbangan pembinaan masjid baharu.
Ahli Bunian Bikerz dan pengurusan masjid bergambar di hadapan Masjid Jamek Baharu Pekan Sungai Buloh selepas program Ride Iktikaf Subuh Berjemaah dan menyampaikan sumbangan pembinaan masjid baharu.

Beliau turut berharap agar aktiviti seumpama itu dapat memberi contoh kepada kelab motosikal lain untuk mengadakan program yang dapat memberi sumbangan kepada komuniti.

Sementara itu, pengerusi program, Nik Amirul Asraff Nik Aman berkata, selain mengimarahkan masjid dengan aktiviti Ride Iktikaf Subuh Berjemaah, mereka juga membantu mengumpulkan derma dalam kalangan ahli untuk disumbangkan kepada masjid tersebut.

"Ïnisiatif tersebut tercetus selepas melihat gerakan yang dibuat selebriti tanah air, Alif Satar melalui kempen Geng Subuh Macam Jumaat. Alhamdulillah sambutan yang diberikan oleh ahli sangat baik. Kita tidak memaksa tetapi sekadar mengajak mereka bersama-sama menunaikan solat subuh di masjid," katanya.

Beliau yang juga seorang guru berkata, pengisian program konvoi itu diharap memberikan manfaat kepada peserta serta membuka mata masyarakat untuk sama-sama membantu menyumbang kepada pembangunan masjid baharu itu kelak.

Bagi pihak yang berhasrat untuk berwakaf bagi mengumpul dana wakaf sebanyak RM10 juta bagi pembinaan sebuah masjid baharu boleh menghubungi Mohd Pekri di talian 012-2605560 atau disalurkan menerusi akaun Public Bank 3986829513.