3,000 solat Subuh berjemaah di Masjid Bandar Pontian

Lebih 3,000 jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Bandar Pontian, pada Ahad.
Lebih 3,000 jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Bandar Pontian, pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN – Lebih 3,000 jemaah hadir menunaikan solat Subuh di Masjid Bandar Pontian, di sini, pada pagi Ahad.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kehadiran ramai jemaah solat Subuh di masjid daerah itu merupakan perkembangan yang amat baik susulan penganjuran program Semarak Subuh Johor.

"Alhamdulillah, begitu ramai jemaah mengimarahkan Program Semarak Subuh Johor dan kempen Solat Subuh Macam Jumaat bertempat di Masjid Bandar Pontian.

"Semoga program seumpama ini dapat menyuntik semangat dan membangkitkan minat anak-anak muda untuk sama-sama hadir menunaikan solat Subuh pada setiap hari di masjid," katanya.

Solat Subuh itu diimamkan Imam 1 Masjid Bandar Pontian, Al Hafiz Yunos, manakala tazkirah ringkas diberikan Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) Pasir Gudang, Dr Mohd Rilizam Rosli.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Kawasan Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Ab Razak Khalid.

Ahmad (berdiri, lima dari kiri) bergambar bersama jemaah yang hadir di Masjid Bandar Pontian, pada Ahad.
Ahmad (berdiri, lima dari kiri) bergambar bersama jemaah yang hadir di Masjid Bandar Pontian, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berharap pengerusi masjid dan surau di kawasan Parlimen Pontian dapat menggerakkan aktiviti Semarak Subuh bagi menarik lebih ramai jemaah.

Artikel Berkaitan:

Program Semarak Subuh merupakan inisiatif Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyasarkan pelaksanaannya di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor dengan peruntukan berjumlah RM560,000.

Program melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor itu mula dilancarkan 5 Januari lepas dan akan diadakan pada setiap subuh Jumaat sepanjang tahun ini.