Hassan Karim tak gentar digantung, dipecat

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan beliau adalah seorang yang berpegang kepada prinsip dan tidak akan tunduk atau berdiam diri terhadap perkara tidak betul sekali gus memerlukannya menegur.

Beliau tidak gentar dipecat atau digantung keahlian daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan malah tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan dan parti.

"Jadi saya nak jaga apa sangat, (nak) buang, buanglah (nak) pecat, pecatlah. Saya tukar baju Ahli Parlimen pakai baju 'lawyer' (beliau merupakan seorang peguam) pergi mahkamah.

"Tak gentar digantung atau dipecat, bukanlah saya berkata angkuh bila kata macam itu. Saya tiada kekuatan, kalau saya disingkirkan daripada parti tak rugi apa pun. Patah tumbuh hilang berganti.

"Saya serah sahaja, apa pilihan yang saya ada, saya dah tua, takkan nak setuju atau tunduk sahaja (apabila tidak bersetuju)," katanya kepada pemberita selepas hadir sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Kim Ying, Plentong di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas sama ada bersedia dikenakan tindakan selepas pada Jumaat mendakwa reformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu perlahan dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) wajar turun ke jalanan menuntut janji.

Pada Rabu, Bersih menggesa pentadbiran Anwar tidak lagi berdalih dan melaksanakan semua agenda reformasi dijanjikan sebelum menjadi kerajaan atau bersedia berdepan demonstrasi jalanan.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, rakyat kecewa dan marah berikutan perkembangan mutakhir pelaksanaan agenda reformasi dalam negara yang indah khabar dari rupa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak pernah melupakan reformasi institusi kerana itu antara perkara utama diperjuangkan pentadbiran Anwar.

Sebelum ini, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenakan tindakan disiplin terhadap Hassan susulan kelantangan beliau dalam menyuarakan pelbagai isu ketika ini.

Mengulas lanjut, Hassan percaya Anwar yang juga Presiden PKR faham perkara yang disuarakannya dan itu bukan kali pertama beliau membuat teguran.

Katanya, PKR adalah sebuah parti politik berteraskan perjuangan reformasi dan perlu diteruskan serta pada masa sama percaya agenda tersebut akan diteruskan selagi Anwar menjadi Presiden parti tersebut.

"Kalau orang lain jadi Presiden PKR saya tak berani cakaplah tapi teguran saya itu Anwar faham maksud saya (perkara yang dibangkitkan). Kita tidak mahu Anwar dikelilingi pegawai dia yang 'yes man' sokong sahaja.

"Ini sokongan yang membawa rebah. Jadi kita percaya Anwar tidak boleh dikelilingi mereka yang angguk-angguk," katanya.

Hassan berkata, walaupun membuat teguran termasuk dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, hubungannya dengan Anwar tidak mempunyai masalah.

"Dia ada baca analisis yang saya tulis tentang isu pengampunan Najib dan Anwar kata analisis yang tepat. Hubungan saya dengan Anwar tidak terjejas dan sangat baik termasuk dia kerap bertanya khabar," tambahnya.