Pindah buah pinggang demi nyawa anak

Juliani (kiri) dan anaknya, Nurul Aziemah.
Juliani (kiri) dan anaknya, Nurul Aziemah.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang ibu sanggup mengambil risiko dengan memindahkan buah pinggangnya, demi menyelamatkan nyawa anaknya yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang sejak dua tahun lalu.

Juliani Jaafar, 42, dari Kampung Tapah, di sini berkata, dia kini sedang menjalani proses saringan sebagai persediaan akhir bagi menjalani proses pemindahan buah pinggang untuk didermakan kepada anaknya, Nurul Azimah Mohd Fauzi, 23.

Menurutnya, proses itu akan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur atau Hospital Selayang.

"Setakat ini, kos rawatan dan tarikh untuk pemindahan atau transplantasi salah satu buah pinggang saya belum diberitahu lagi, namun saya berharap agar ia dapat berjalan dengan lancar.

"Saya mohon doa semua semoga dipermudahkan segala urusan ini dan anak saya kembali pulih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Juliani yang merupakan ibu kepada tujuh anak berkata, anak sulungnya yang juga merupakan lepasan Diploma Perladangan dan Teknologi Agro di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang mula mengalami masalah kegagalan buah pinggang sejak November 2018.

Katanya, kehidupan anaknya berubah sepenuhnya sejak kedua-dua buah pinggang disahkan gagal berfungsi pada tahap lima.

“Saya tidak sanggup lagi melihat dia menderita sebab itulah saya sanggup derma buah pinggang untuk anak saya kerana perjalanan hidupnya masih jauh.

Artikel Berkaitan:

"Saya halalkan buah pinggang ini untuk dia kerana hanya itu yang mampu saya tolong untuk meringankan penderitaannya,” katanya yang bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Nurul Aziemah berkata, perubahan pada dirinya berlaku apabila anggota badannya membengkak dan dia mengalami masalah darah tinggi ketika masih menuntut di UiTM.

"Saya dapat tahu menghidap penyakit ini selepas membuat pemeriksaan di hospital. Sejak itu, saya perlu menjalani hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.

"Tidak dinafikan, ia amat menyakitkan tetapi saya pasrah dengan ujian ini," katanya.

Ditanya reaksi setelah ibunya bersedia mendermakan buah pinggang kepadanya, dia amat terharu dengan kerelaan ibunya itu.

"Saya amat terharu sebab mak sanggup derma sebelah buah pinggangnya kepada saya.

"Terlalu banyak dia berkorban untuk kami semua dan saya nekad akan balas jasanya dan akan ubah nasib keluarga kami setelah bekerja nanti,” katanya.

Tidak terhenti setakat itu, kehidupan Juliani sekeluarga diuji dengan keadaan suaminya, Mohd Soberi Mohd Ghazali, 46, yang sering sakit akibat kegagalan injap jantung, memaksanya mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga dengan mengambil upah mencucuk sate bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Hasil pendapatan sebanyak RM600 sebulan terpaksa digunakan dengan cermat bagi menampung perbelanjaan persekolahan dan perubatan anak serta suami selain digunakan untuk membeli barangan keperluan.

"Ada kalanya saya rasa sudah tidak mampu bertahan dan perlukan bantuan mana-mana pihak yang sudi membantu kami sekeluarga," katanya.

Juliani bersama anaknya, Nurul Aziemah dan suaminya, Mohd Soberi.
Juliani bersama anaknya, Nurul Aziemah dan suaminya, Mohd Soberi.

Terdahulu, Juliani sekeluarga menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Terengganu di kediamannya.

Juliani turut mendapat bantuan persekolahan sebanyak RM200 sebulan oleh JKM bermula 2019 dan sebanyak RM1,000 secara ‘one off' oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar berkata, bantuan am sebanyak RM300 atas nama Nurul Aziemah diluluskan mulai Januari 2020 selain meneruskan bantuan sedia ada.

Selain itu katanya, bayaran rawatan Nurul Aziemah dan Mohd Soberi juga dikecualikan di hospital dan klinik kerajaan kerana mereka merupakan penerima bantuan JKM.

"Kita juga meluluskan bantuan RM8,000 untuk membaiki rumah termasuk ruang bilik bagi pesakit (Nurul Aziemah) menyediakan ruang yang lebih bersih untuk rawatan dan keselesaan penama,” katanya.

Zuhami berkata, pihaknya kini dalam proses untuk pendaftaran e-Kasih bagi penyelarasan bantuan agensi berkaitan bagi meringankan bebanan keluarga itu.

"Kita juga akan membantu keluarga ini terutama anaknya, Nurul Aziemah bagi meningkatkan pendapatan misalnya dengan memberi pendedahan perniagaan dalam talian,” katanya.