Pas ucap Selamat Tahun Baharu Cina, harap sambutan meriah

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Cina dengan harapan sambutan tahun ini tetap meriah walaupun kesejahteraan hidup umum agak terkesan terutamanya susulan persekitaran ekonomi dan perniagaan yang lemah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, seperti banyak perayaan lain dalam kalangan rakyat di negara ini, Tahun Baharu Cina bukanlah sambutan pada hari-hari tertentu sahaja, tetapi lebih merupakan fenomena budaya dan tradisi.

Kata beliau, ia meraikan nilai-nilai unggul seperti kepentingan keluarga, kesejahteraan bersama, kepedulian, kasih sayang dan semangat setiakawan serta permulaan yang baharu.

“Sebagai teras masyarakat dan negara, keluarga merupakan unsur penting bukan sahaja bagi mengukur kualiti kehidupan semasa rakyat, tetapi juga sebagai gambaran kepada potensi dan hala tujunya pada masa-masa hadapan.

“Keluarga yang gembira, sihat serta terdidik dengan nilai-nilai luhur dan berfaedah akan menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan negara yang sejahtera dan berjaya, sementara keluarga yang sebaliknya akan hanya melahirkan masyarakat dan negara yang rosak, berkecamuk dan mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Khamis dilaporkan membuat kelainan dengan menyampaikan perutusan khas sambutan Tahun Baharu Cina dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Abdul Hadi berkata, kepelbagaian kaum dan bangsa di negara ini diraikan sebagai tanda kebesaran ALLAH SWT serta fitrah kejadian manusia.

Takiyuddin menegaskan, atas semangat tahun baharu dan permulaan baharu, Pas menggesa semua pihak agar memurnikan komitmen kepada keluhuran serta keunggulan nilai dan sikap.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia bagi memastikan bukan sahaja keluarga terbentuk secara sihat dan positif, tetapi bagi menjamin masyarakat serta negara tercinta terselamat dan terpelihara daripada bencana serta kekecewaan yang berpunca daripada keruntuhannya.

“Gong Xi Fa Chai. Semoga kejayaan dan aspirasi pada tahun ini melonjak hingga mencapai awan,” kata beliau.