Zahid kunjungi keluarga angkat sempena Tahun Baharu Cina

Ahmad Zahid menggaul Yee Sang bersama keluarga angkatnya pada Majlis Kunjungan Kasih Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu Simpang Empat, Hutan Melintang, hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid menggaul Yee Sang bersama keluarga angkatnya pada Majlis Kunjungan Kasih Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu Simpang Empat, Hutan Melintang, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BAGAN DATUK - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengunjungi keluarga angkatnya yang berbangsa Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang dekat sini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu disambut ahli keluarga angkatnya, Beh Song Wan, 61, dan isterinya Tian Mee Ping, 55, serta dua anak mereka.

"Setiap tahun tanpa gagal saya akan ke rumah Bujang (Song Wan) ini, walaupun setahun sudah ibu beliau meninggal dunia, saya tetap datang sebagai menghormati beliau," katanya kepada pemberita ketika Kunjungan Kasih Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, esok genap setahun ibu Song Wan yang juga ibu angkatnya, Cheah Seoh Lian meninggal dunia.

Seoh Lian meninggal dunia pada 12 Februari tahun lepas dalam usia 83 tahun ketika tidur di kediaman yang sama.

Ahmad Zahid berkata, hubungan beliau dengan mendiang serta enam anaknya amat rapat, malah mereka dianggap seperti keluarga sendiri sejak puluhan tahun yang lalu.

Terdahulu Ahmad Zahid menjamu selera bersama keluarga Song Wan serta empat adik-beradiknya termasuk menikmati Yee Sang yang diperbuat daripada bahan-bahan membuat pecal.

Beliau turut disambut dengan tarian singa dan sempat beramah mesra bersama tetamu kira-kira sejam sebelum meninggalkan majlis. - Bernama

Artikel Berkaitan: