Dua pekerja kontrak maut terkena renjatan elektrik

Tular gambar mangsa terkena renjatan elektrik di tepi jalan Kampung Marak Parak, Kota Marudu.
Tular gambar mangsa terkena renjatan elektrik di tepi jalan Kampung Marak Parak, Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Dua pekerja kontrak maut selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja memasang kabel gentian optik di tepi jalan Kampung Marak Parak di sini pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Khomeni Maulana, 32, dan rakannya, Abi’rafhdi Affendy, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena renjatan elektrik yang tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak hospital pada jam 11.04 pagi yang memaklumkan terdapat dua mangsa terkena renjatan elektrik.

"Hasil siasatan awal mendapati, ketika di lokasi kejadian terdapat kira-kira 10 pekerja kontrak mengangkat tiang untuk ditanam bagi memasang kabel gentian optik.

"Ketika pekerja menaikkan tiang tersebut, terdapat kabel elektrik yang terkena pada tiang tersebut. Kabel yang mempunyai arus elektrik mengalir dan pekerja sempat melepaskan tiang tersebut namun mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan.

"Sementara itu, dua lagi pekerja tidak sempat melepaskan tiang tersebut menyebabkan mereka terkena renjatan elektrik yang tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Zairolnizal berkata, orang awam yang melihat kejadian itu bertindak menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Kota Marudu untuk tindakan lanjut.

"Namun kedua-duanya telah disahkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan lanjut pada fizikal kedua-dua mangsa terdapat kesan renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain yang mengaitkan dengan sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.