[VIDEO] Nenek trauma bergelut dengan penyamun

A
A
A

KUALA PILAH - Seorang warga emas trauma selepas dipercayai bergelut dengan penyamun yang memasuki kediamannya di Kampung Air Besar, Kepis Ulu dekat sini dalam kejadian pada awal pagi Khamis.

Kejadian berlaku lebih kurang jam 3 pagi itu menyebabkan mangsa, Pasah Amat berusia lewat 70-an kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah sebaik mengadu sakit di bahagian tulang rusuk dan sesak nafas.

Norhayati (kanan) bersama seorang lagi ibu saudaranya, Normah Ahmad, 60 menunjukkan lokasi papan yang dipercayai diumpil penyamun terbabit
Norhayati (kanan) bersama seorang lagi ibu saudaranya, Normah Ahmad, 60 menunjukkan lokasi papan yang dipercayai diumpil penyamun terbabit

Menurut anak saudaranya, Norhayati Maasin, 34, dia bergegas ke rumah ibu saudaranya atau mesra dipanggil mak teh sebaik diberitahu mengenai kejadian samun selepas suara Pasah meminta tolong didengari jiran sekitar jam 7 pagi.

"Mak teh beritahu pada mulanya dia dikejutkan dengan bunyi bising di bahagian atas rumah sebelum bertindak membuka pintu tengah untuk memeriksanya.

"Dia bagaimanapun dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki memakai topeng dan disyaki berlaku pergelutan. Penjenayah itu kemudiannya melarikan telefon bimbit dan dompet milik mak teh, selain daripada itu kami tak pasti," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Khamis.

Ujarnya, ibu saudaranya itu tinggal seorang diri tetapi anak dan saudara maranya tinggal di kawasan berdekatan dan mereka sering datang menjenguknya.

Artikel Berkaitan:

Rogayah (kanan) ketika menceritakan mengenai kejadian itu, turut kelihatan saudara maranya yang lain.
Rogayah (kanan) ketika menceritakan mengenai kejadian itu, turut kelihatan saudara maranya yang lain.

Dalam pada itu, anak sulung mangsa, Rogayah Ahmad, 62, berkata, penjenayah terbabit dipercayai mengumpil papan dinding rumah dan memanjat ampaian besi beroda di luar untuk masuk ke dalam rumah.

Pintu tengah yang dibuka Pasah untuk melihat keadaan atas rumah.
Pintu tengah yang dibuka Pasah untuk melihat keadaan atas rumah.

"Laporan polis sudah dibuat dan kami berharap pelakunya dapat ditangkap kerana ia membimbangkan penduduk tambahan merupakan ia kejadian pertama berlaku di kampung ini," katanya.