Penyelia kilang didenda RM1,000 buat laporan palsu disamun

Seorang penyelia kilang didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu disamun bulan lepas.
Seorang penyelia kilang didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu disamun bulan lepas.
A
A
A

JEMPOL - Seorang penyelia kilang dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu disamun bulan lepas.

Tertuduh Muhammad Firdaus Md Lazim, 35, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan 10 hari penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan tertuduh telah membuat satu laporan polis yang dia ketahui adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 8 Januari lalu jam lebih kurang 9.07 malam di Balai Polis Batu Kikir di sini.

Berikutan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sampai enam bulan atau dengan denda hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes tertuduh membuat laporan polis mendakwa disamun oleh dua lelaki di pintu keluar masuk sebuah kilang di Serting Tengah di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati kejadian berkenaan tidak berlaku dan tertuduh membuat laporan palsu disebabkan sudah menggunakan duit syarikat untuk kegunaan peribadi.